iPhone XS & iPhone XS Max Hadir Dengan Sokongan Dalaman Sehingga 512GB, Sokongan Smart HDR

Apple telah memperkenalkan tiga model baru dalam satu acara khas yang diadakan pada awal pagi tadi(waktu Malaysia). Dua daripada ialah iPhone XS dan iPhone XS Max. Dua model ini secara amnya memiliki ciri dan fungsi yang sama, selain saiz skrin paparannya yang berbeza.



Beberapa ciri-ciri bagi dua peranti ini seperti penggunaan panel OLED, cip pemprosesan A12 Bionic serta fungsi Face ID dan Tap-to-Wake telah kami ceritakan dalam kiriman kami sebelum ini. Bagi penulisan kali ini, kami akan ceritakan pada anda berkenaan iPhone XS dan iPhone XS Max dengan lebih mendalam.

Antara pembaharuan yang boleh dianggap menarik pada dua model ini ialah mereka akan mempunyai simpanan dalaman terbesar dalam sejarah iPhone iaitu sehingga 512GB. Dengan ini, penggunanya boleh menangkap gambar atau merakam video dengan banyak tanpa menghiraukan mengenai ruang simpanan.



Bercakap mengenai gambar, satu lagi penambahbaikan yang dibawa pada kali ini ialah sokongan HDR pintar atau Smart HDR pada perisian kameranya. Hampir sama seperti yang digunakan oleh Google Pixel, fungsi ini akan menangkap sejumlah gambar sekaligus sebelum menggabungkan mereka menjadi satu bagi menghasilkan foto akhir dengan kualiti terbaik.

Manakala bagi lensa kameranya pula, Apple masih mengekalkan gabungan dwi-lensa yang sama seperti iPhone X pada dua model ini iaitu 12MP f/1.8 + 12MP f/2.4 dengan sokongan penstabilan imej optikal(OIS) untuk rakaman video. Selain itu, video juga boleh dirakam dengan audio stereo menggunakan dua model baru iPhone ini.



Apple turut mendatangkan lensa 7MP f/2.2 pada kamera hadapan pada iPhone XS dan XS Max, juga sama seperti iPhone X. Apple dilihat lebih menfokuskan kepada kemaskini perisian pada kamera bagi model keluaran tahun ini.

Selain itu, pensijilan kalis air dan habuk untuk dua model ini sudah dinaiktaraf kepada IP68 berbanding IP67 pada keluaran lepas. Tiada maklumat mengenai kapasiti bateri didedahkan dalam majlis berkenaan, namun Apple mendakwa iPhone XS mampu bertahan 30 minit lebih lama berbanding iPhone X, manakala iPhone XS Max pula boleh bertahan sehingga 90 minit lebih lama.



Jika ditanya mengenai perkara paling mengecewakan pada model iPhone kali ini pastinya ramai akan menjawab mengenai sokongan dwi-kad sim-nya. Apple menawarkan sokongan berkenaan pada dua model ini, namun ianya terhad bagi pasaran China sahaja. Diharapkan agar perkara ini akan dinilai semula oleh Apple pada masa akan datang.

Walaupun akan mula dipasarkan pada 21 September ini, peranti ini dijangka akan mula dijual secara lebih meluas di pasaran global pada bulan hadapan. Harga bagi pasaran Malaysia? Masih belum diketahui, sama-sama kita nantikan.

 

Sumber