Tiga Model Baru iPhone Diperkenalkan Secara Rasmi, Dinamakan Sebagai iPhone XS, iPhone XS Max & iPhone XR

Seperti digembar-gemburkan sebelum ini, Apple telah pun memperkenalkan secara rasmi tiga model iPhone baru untuk tahun ini. Dua daripadanya, iPhone XS dan XS Max merupakan peranti kelas premium manakala iPhone XR pula adalah model yang lebih mampu milik.



Bagi model iPhone XS dan XS Max, keduanya akan hadir dengan skrin paparan Super Retina dengan panel OLED masing-masing bersaiz 5.9-inci dan 6.5-inci. Untuk model iPhone XR pula, ia akan menggunakan skrin LCD bersaiz 6.1-inci, di mana Apple mendakwa ia merupakan panel LCD paling canggih yang berada di pasaran telefon pintar setakat ini.



Walaubagaimanapun, Apple dilihat tidak mahu jurang perbezaan terlalu besar wujud di antara ketiga-tiga model ini. Ia dapat dilihat apabila semua model menggunakan cip pemprosesan yang sama iaitu A12 Bionic selain sokongan fungsi seperti Face ID dan Tape-to-Wake yang turut hadir pada setiap model.

Ketiga-tiga model ini akan mula dipasarkan bermula bulan hadapan secara berperingkat-peringkat di peringkat global. Harga pasaran yang dilaporkan ialah bermula daripada $999(~RM 4,137) untuk iPhone XS, $ 1,099(~RM 4,552) bagi iPhone XS Max serta $749(~RM 3,102) untuk model iPhone XR.

 

Sumber : Apple9to5Mac