Setelah berbulan khabar mengenainya diperkatakan, Apple kini secara rasmi telah mengumumkan empat model terbaharu iPhone untuk tahun 2020.
Selain bintang utama pada malam ini yang tertumpu kepada iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max, Apple turut memperkenalkan iPhone 12 dan iPhone 12 mini. Kesemua model iPhone 12 ini dijana cip pemprosesan A14 Bionic.
iPhone 12
iPhone 12 merupakan pengganti kepada iPhone 11. Sama seperti pendahulunya, Apple meletakkan skrin paparan 6.1 inci dengan panel OLED Super Retina XDR. iPhone 12 hadir dengan paparan yang lebih tahan lasak dimana Apple memanggilnya sebagai Ceramic Shield. Ia juga mempunyai sokongan penarafan IP68.
Menggunakan skrin OLED, iPhone 12 mempunyai maksimum 1200 nits kecerahan serta menyokong Dolby Vision, HDR 10 dan HLG. Apple masih mengekalkan takuk pada bahagian panel hadapan yang juga menempatkan Face ID dengan bezel yang lebih nipis.
Dua lensa kamera diletakkan pada panel belakang dengan kombinasi lensa 12MP f/1.6 (utama)+12MP f/2.4 (sudut lebar). Kedua-dua lensa ini mempunyai ciri Night Mode dimana lensa utamanya memberikan 27% peningkatan pencahayaan berbanding sebelumnya.
Untuk rakaman video, terdapat Night Mode Time Lapse yang dimuatkan pada iPhone 12. Ia mempunyai kemampuan rakaman video 4K HDR dengan Dolby Vision.
Kamera swafoto juga didatangkan dengan Night Mode yang mempunyai ciri seperti Deep Fusion, Smart HDR 3, rakaman Dolby Vision dan sebagainya.
Selain itu, Apple turut mengumumkan sokongan pengecasan tanpa wayar yang mengandungi sistem “MagSafe” dengan magnet terbina bagi memastikan iPhone menyokong aksesori MagSafe.
Seperti yang dikhabarkan sebelum ini, hanya kabel pengecas USB-C ke Lightning yang disertakan dalam kotak pembelian.
iPhone 12 ditawarkan lima pilihan warna iaitu White, Black, Blue, Green dan (PRODUCT) RED.
iPhone 12 mini
Untuk pertama kalinya Apple menggunakan nama “mini” pada barisan iPhone, setelah menggunakannya pada iPod mini, iPad mini dan Mac mini sebelum ini. Menurut Apple, iPhone 12 mini merupakan telefon 5G paling kecil dan ringan yang ada di pasaran ketika ini.
iPhone 12 mini menampilkan skrin paparan 5.4 inci, namun lebih kecil berbanding iPhone SE yang dilancarkan pada tahun ini. Ia berikutan tiada Touch ID dan digantikan dengan rekaan takuk yang menempatkan Face ID serta bezel yang lebih nipis pada sekitar skrin.
Sama seperti iPhone 12, iPhone 12 mini menggunakan cip A14 Bionic dengan proses 5nm bagi meningkatkan prestasi berbanding cip A13. Lain-lain ciri yang dibawakan iPhone 12 mini adalah sama seperti iPhone 12 dengan perbezaannya adalah dari segi saiz sahaja.
Harga
iPhone 12 mini
- 64GB – RM3399
- 128GB – RM3599
- 256GB – RM4099
iPhone 12
- 64GB – RM3899
- 128GB – RM4099
- 256GB – RM4599