iPhone 12 Pro Dan Pro Max Rasmi Dilancarkan - Rekaan Serba Baharu, Harga Bermula RM4,899

Awal pagi ini, Apple telah melancarkan empat model iPhone - iPhone 12 Mini, iPhone 12, iPhone 12 Pro, dan iPhone 12 Pro Max.

iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max merupakan model yang bertindak selaku model iPhone mercu dari Apple untuk tahun 2020.



Berbeza dengan iPhone 12 dan iPhone 12 mini dengan bingkai aluminium, iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro direka dari bahan binaan keluli tahan karat.

Kesemua rekaan pada model dalam siri iPhone 12 direka menyerupai iPad Pro 2020 dengan bingkai rata. Ia juga turut mengembalikan nostalgia rekaan seumpama pada iPhone 5S sebelum ini.

Keseluruhan rekaan juga boleh dikatakan tidak jauh berbeza dengan takuk memuatkan Face ID yang sama.

iPhone 12 Pro


iPhone 12 Pro merupakan model kecil untuk versi Pro dengan saiz skrin 6.1 inci OLED. Ia adalah sedikit besar berbanding iPhone 11 Pro tahun lepas.

Panel skrinnya menyokong paparan HDR, DCI-P3, True Tone, Haptic Touch, kecerahan sehingga 1,200 nits dan juga resolusi (2532x1170) 460 ppi.



Apple juga turut memperkenalkan teknologi skrin Ceramic Shield pada model Pro. Menurut Apple, skrin pada iPhone terbaharu ini adalah lebih tahan lasak berbanding telefon pintar lain - 4x lebih tahan jika terjatuh.

Untuk cip pula ia oleh cip A14 Bionic. Ia merupakan cip 5nm dengan 11.8 billion transistor. A14 Bionic direka dengan 6 teras CPU dan 4 teras GPU. yang mana adalah 50% lebih pantas dari mana-mana telefon pintar lain.

Terdapat 3 lensa belakang pada iPhone 12 Pro. 12MP utama, 12MP telefoto, dan juga 12MP sudut lebar.



Antara ciri baharu pada model Pro adalah Night Mode dan Deep Fusion untuk kesemua lensa, rakaman video dalam HDR dan Dolby Vision HDR, dan juga Apple ProRaw.

Apple ProRAW merupakan format RAW yang membolehkan pengguna untuk kawalan menyunting gambar lebih luas.



iPhone 12 Pro juga memperkenalkan sistem LiDAR. Teknologi ini terlebih dahulu telah diperkenalkan pada iPad Pro 2020 dan telah dibawa ke iPhone pula.

LiDAR merupakan sistem mengukur jarak menggunakan cahaya dan data kedalaman yang lebih tepat berbanding sistem jarak lain seperti ToF.



Untuk pengecasan, yang terbaharu pada iPhone 12 Pro adalah sistem MagSafe yang merupakan pengecasan tanpa wayar bermagnetik. Untuk kelajuannya, ia boleh dicas selaju 15W.



Manakala untuk pengecasan berwayar pula adalah selaju 20W.

iPhone 12 Pro juga turut dilengkapi dengan penarafan IP68. Seperti mana-mana produk Apple, mereka tidak berkongsi dengan lebih lanjut mengenai spesifikasi seperti RAM ataupun bateri.

Seperti yang dijanjikan, Apple kini tidak lagi menyertakan kepala pengecas dan juga fon telinga Earpod. Ini bermakna hanya ada telefon pintar dan wayar USB-C kepada Lightning sahaja dalam kotak.

iPhone 12 Pro Max


iPhone 12 Pro Max pula merupakan saudara besar untuk versi Pro. Ia berkongsi banyak spesifikasi sama dengan iPhone 12 Pro dengan perbezaan dari segi saiz dan juga sistem kamera.

iPhone 12 Pro Max dilengkapi dengan skrin berukuran 6.7 inci. Berbanding iPhone 11 Pro Max tahun lepas, ia adalah sedikit lebih besar. Ini menjadikannya telefon pintar Apple paling besar pernah dihasilkan.



Kamera iPhone 12 Pro Max adalah lebih hebat berbanding iPhone 12 Pro. Ia tetap disertakan dengan 3 unit 12MP kamera - utama, sudut lebar, dan telefoto.



Namun, untuk sensor utama, ia mempunyai saiz sensor 47% lebih besar yang meningkatkan prestasi kurang cahaya sehingga 87% berbanding iPhone 12 Pro.

Telefotonya juga lebih hebat dengan zum optikal sehingga 5x berbanding hanya 4x pada iPhone 12 Pro. Untuk sudut lebar pula, ia masih lagi lensa yang sama seperti iPhone 12 Pro.


Harga Jualan


Untuk pasaran Malaysia, iPhone 12 Pro dijual bermula RM4,899 manakala iPhone 12 Pro pula RM5,299.

Terdapat 4 pilihan warna yang boleh dipilih iaitu Gold, Silver, serta yang paling ekslusif untuk iPhone 12 Pro adalah Pacific Blue dan Graphite.



Tarikh penjualan rasmi walau bagaimanapun belum dinyatakan oleh Apple Malaysia.

*Untuk artikel pelancaran mengenai iPhone 12 dan iPhone 12 mini, boleh baca di pautan ini.

 

Berkaitan