iPhone 11 Pro Kecundang Awal Dalam Ujian Perbandingan Kamera MKBHD

16 peranti. 1 gelaran juara untuk direbut. Tiada bias. 2 gambar dari peranti yang dibandingkan tidak diberitahu jenama pun. Jadi, pilihan anda adalah berdasarkan kualiti gambar semata-mata. Bukan lagi dari bias darah Android ataupun jiwa tegar iPhone anda.

MKBHD sebelum ini telah membuat undian di Twitter untuk perbandingan kamera tersebut dan baru hari ini beliau memuat naik video mengumumkan pemenangnya. Untuk tahun lepas Pocophone F1 hampir merebut gelaran juara disebabkan majoriti 'menyukai' hasil foto peranti tersebut. Walau bagaimanapun, ia tumbang kepada Huawei Mate 20 Pro, yang jelas sudah siap sedia dengan sensor kameranya yang lebih besar.

Tahun ini pula lain ceritanya. Walaupun Huawei tidak mampu mengekalkan kejuaraan dengan Mate 30 Pro, ia tetap memberikan tentangan yang hebat kepada pesaingnya. Jadi, 16 peranti tersebut adalah:

  • iPhone 11 Pro

  • Google Pixel 4

  • Samsung Galaxy Note 10+

  • Google Pixel 3a

  • Samsung Galaxy S10e

  • OnePlus 7T Pro

  • OnePlus 7T

  • Huawei Mate 30 Pro

  • Huawei P30 Pro

  • Xiaomi Mi Note 10

  • Sony Xperia 1

  • Redmi K20 Pro

  • LG G8X

  • ASUS ROG Phone 2

  • ASUS Zenfone 6

  • Royal Flexpai


Kapsyen: Foto - MKBHD / YouTube

Pusingan Pertama - iPhone terkeluar awal?


Selesai pusingan pertama, hanya akan ada 8 peranti yang maju ke pusingan seterusnya. Sesetengah peranti yang menang memang dah boleh agak seperti Huawei Mate 30+, Galaxy Note 10+, Pixel 3a, dan juga Pixel 4. Namun, ada juga kemenangan tidak dijangka seperti iPhone 11 Pro, dan juga Huawei P30 Pro. Sedangkan dengan 108MP kamera pun Xiaomi Mi Note 10 tidak mampu mengalahkan Samsung S10e. Ingat, jumlah megapixel bukan segalanya.

Kapsyen: Foto - MKBHD / YouTube


Menurut MKBHD setiap kekalahan ada fakta dan analisis di sebaliknya. Untuk kes iPhone 11 Pro Max, dengan hasil tangkapan dibandingkan dengan OnePlus 7T Pro, sudah tentu ramai yang memilih foto dari OnePlus. Ini adalah disebabkan tona white balance iPhone yang lebih sejuk manakala OnePlus lebih okay di mata pengundi. Walaupun mungkin yang pakar mengatakan ia mungkin sekadar citarasa masing-masing, contoh yang dilihat ini jelas menunjukkan majoriti memihak kepada OnePlus.

Kapsyen: Foto - MKBHD / YouTube


Mungkin DxOMark memuji Xiaomi Mi Note 10 sebagai peranti dengan markah kamera terbaik. Namun perlu diingat, di media sosial, segala perincian dan butiran itu akan dihiraukan. Apa yang tinggal hanyalah warna, kecerahan dan juga kekuatan pasca pemprosesan gambar. Seperti biasa, Samsung sememangnya dikenali dengan kemampuan memproses gambar yang baik. Jadi dengan senang hatinya S10e mengalahkan Mi Note 10.

Pusingan Kedua - Analisis Menarik Menyanggah Teori Teknikal


Untuk pusingan kedua, 4 peranti yang berjaya berentap untuk pusingan seterusnya adalah Huawei Mate 30, Samsung Galaxy Note 10+, Samsung Galaxy S10E, dan juga Google Pixel 4.

Kapsyen: Foto - MKBHD / YouTube


Satu analisis menarik yang dikeluarkan dalam perbandingan tersebut adalah majoriti memilih peranti dengan subjek yang fokusnya kurang mempunyai background blur. Ini dibuktikan dengan kemenangan Galaxy Note 10+ mengalahkan Huawei Mate 30 Pro hanya kerana Note 10+ mempunyai kawasan fokus yang lebih besar berbanding Mate 30 Pro.

Kapsyen: Foto - MKBHD / YouTube


Secara teknikalnya, latar belakang Mate 30 Pro lebih kabur berbanding Galaxy Note 10+ disebabkan oleh penggunaan sensor yang lebih besar dari Note 10+ - malah lebih besar berbanding mana-mana pesaing sekarang ini. Walaupun perbandingan dibuat atas dasar membandingkan kualiti potret kereta, ramai juga yang menyangka perbandingan palet warna dari segi ketajaman juga adalah penentu kualiti gambar potret yang baik.

Jadi, majoriti melihat fenomena kabur ini sebagai kurang tajam walhal ia hanyalah menunjukkan kemampuan sensor untuk menangkap bokeh dengan kualiti yang lebih menawan.

Pusingan Ketiga - Galaxy Note 10+ Juara


2 peranti terakhir. Kedua-duanya dari jenama Samsung - Galaxy Note 10+ dan Galaxy S10e. Adakah ini bermaksud majoriti sukakan bagaimana Samsung memproses gambar mereka?

Kapsyen: Foto - MKBHD / YouTube


Untuk menentukan pemenang perbandingan kamera ini, MKBHD membandingkan kedua-dua peranti melalui sebuah ujian gambar pemandangan (landscape).

Kapsyen: Foto - MKBHD / YouTube


Hasil gambar kedua-dua peranti tersebut adalah sama. Namun, menurut MKBHD ada yang perasan terdapat unsur warna magenta pada S10e, jadi mereka memilih Note 10+ kerana tidak sukakan hasil pada S10e tersebut.

Kesimpulan Ujian - Peranti Dengan Kamera Yang Baik Tak Bermaksud Kameranya Baik


Benarkah? Mungkin juga. Terutamanya jika gambar itu dibandingkan dalam media sosial. Di mana kualiti gambar akan merosot serta ketajaman dan perincian tidak penting. Melalui ujian MKBHD tersebut, pengguna baik pengeluar peranti pintar boleh belajar sesuatu dari ujian perbandingan tersebut. Yang pertamanya, majoriti memilih gambar yang lebih cerah, walaupun ada cerahnya yang sehingga overexpose. White balance juga memainkan peranan penting seperti contoh iPhone 11 Pro yang kecundang disebabkan white balance biru yang tidak digemari majoriti.

Namun perlu diingat juga, ini hanyalah cuma blind test di mana kualiti kameranya hanya terbatas pada tahap pemprosesan sosial media sahaja, dan juga jenis ujian yang ringkas sahaja. Apa yang hendak ditekankan melalui ujian ini bukanlah sesuatu peranti itu menghasilkan gambar yang menarik berbanding peranti lain, akan tetapi ia cuma hendak menunjukkan bagaimana majoriti pengguna peranti pintar memilih dan membuat keputusan gambar yang mereka sukai.

Bagaimana dengan anda? Adakah gambar dari Note 10+ sememangnya mempunyai hasil kualiti yang memuaskan? Ataupun setujukah anda dengan peranti Note 10+ memenangi perbandingan kualiti kamera ini?

Sumber: MKBHD

Berkaitan