Intel secara rasmi telah memperkenalkan dua kad grafik baharu dalam keluarga Intel Arc Pro, iaitu Arc Pro B50 dan Arc Pro B60. Ditujukan khas untuk kegunaan AI inference dan workstation profesional, kedua-dua GPU ini tampil dengan konfigurasi memori besar, keupayaan ray tracing, serta sokongan codec moden.
Sekali gus menjadikannya menarik bukan sahaja untuk pengguna kreatif, malah mungkin juga untuk gamer yang perlukan prestasi luar dari kebiasaan.
Intel Arc Pro B60
Arc Pro B60 merupakan model tertinggi di mana ia menggunakan teras 20 Xe², bersama 160 enjin AI XMX untuk keperluan seperti rendering, simulasi, dan aplikasi kecerdasan buatan (AI). Ia menyokong ray tracing, serta keupayaan pengekodan/penyahkodan untuk format video moden termasuk AV1 dan HEVC.
GPU ini hadir dengan 24GB memori GDDR6, menggunakan antara muka 192-bit, dan kadar lebar jalur sehingga 456 GB/s. Dari segi prestasi, ia mampu menjana sehingga 197 TOPS untuk operasi AI berasaskan INT8, dengan penggunaan kuasa antara 120W hingga 200W, bergantung pada model dan konfigurasi.
Walaupun hanya menggunakan PCIe Gen5 x8, ia masih boleh digunakan pada sistem yang menyokong PCIe Gen4. Harga yang disasarkan untuk model ini adalah sekitar $500 (~RM2,143).
Intel Arc Pro B50
Bagi pengguna yang mencari prestasi tinggi tetapi dengan bajet lebih rendah, Arc Pro B50 menawarkan spesifikasi yang masih baik. Ia dilengkapi dengan teras 16 Xe², 128 enjin AI XMX, dan 16GB GDDR6 VRAM melalui antara muka 128-bit, dengan lebar jalur 224 GB/s. Prestasinya mencecah 170 TOPS untuk operasi AI INT8, dengan penggunaan kuasa hanya 70W.
Arc Pro B50 juga menyokong ray tracing, pengekodan/penyahkodan AV1, dan pelbagai API penting seperti DirectX 12 Ultimate, Vulkan 1.3, OpenCL 3.0, serta OpenVINO untuk aplikasi AI.
GPU ini hadir dalam bentuk low profile, sesuai untuk sistem kompak atau workstation bersaiz kecil. Harga permulaan ditetapkan sekitar $299 (~RM1,281).
Teknologi Battlematrix
Sebagai tambahan kepada dua model ini, Intel turut memperkenalkan inisiatif baharu dinamakan Battlematrix di mana pengguna boleh menggabungkan sehingga 8 kad Arc Pro dalam satu sistem.
Ini membolehkan jumlah memori grafik sehingga 192GB. Salah satu rakan kongsi Intel, Maxsun, telah menunjukkan kad grafik khas dengan dua GPU BGM-G21 dalam satu papan induk dan 48GB VRAM, menandakan potensi besar dalam segmen workstation dan AI.
Ketersediaan
Kedua-dua kad grafik ini dijangka akan mula dipasarkan pada suku ketiga (Q3) 2025, dengan penghantaran awal kepada pengeluar sistem workstation utama.
Intel juga sedang menilai kemungkinan untuk melancarkan versi DIY (untuk pengguna bina sistem sendiri) selepas pemacu dan perisian dioptimumkan sepenuhnya, dijangka sekitar suku keempat (Q4) 2025.
{suggest}