Instagram Disahkan Punyai Kelemahan Sekuriti Yang Boleh Dedahkan Nombor Telefon Pengguna

Platform media sosial popular, Instagram dilaporkan mempunyai kelemahan sekuriti yang membawa kepada risiko pendedahan data pengguna. Menurut laporan Forbes, perkara tersebut telah disahkan oleh Facebook, syarikat induk kepada Instagram.

Melalui kelemahan yang dikenal pasti, penggodam akan menggunakan algoritma pada log masuk Instagram bagi menyemak nombor telefon yang dipautkan pada media sosial tersebut. Seterusnya, ia akan mencari nama akaun dan nombor yang bersambung pada nombor telefon yang sudah diperolehi dan ini menjurus kepada risiko pendedahan data pengguna yang serius membabitkan platform media sosial berkenaan.

Perkara ini dikatakan telah dikesan oleh @ZHacker13, penggodam dari Israel yang sudah berjaya mendapatkan maklumat pengguna dan ia menyatakan Facebook seolah-olah tidak serius dalam menanganinya.

Dalam laporan sama, jurucakap Facebook mengesahkan isu sekuriti itu telah dibaik pulih dan berterima kasih kepada penyelidik yang membangkitkan isu tersebut.

Sumber: Forbes