Insiden kecurian kabel yang semakin kerap telah menjejaskan operasi perkhidmatan rel di Lembah Klang, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM20.6 juta dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Prasarana berkata kejadian ini bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, tetapi turut menyebabkan gangguan perkhidmatan, kelewatan perjalanan serta menimbulkan risiko keselamatan kepada jutaan pengguna pengangkutan awam.
Bagi tahun 2025, insiden kecurian kabel telah meningkat kepada 69 kes berbanding 41 kes pada tahun lalu, iaitu kenaikan sebanyak 68%.
Prasarana mendakwa peningkatan ini didorong oleh permintaan dan harga pasaran kabel, khususnya tembaga, yang semakin tinggi dan menjadikan jenayah itu lebih menguntungkan kepada sindiket.
Sehingga kini, syarikat itu telah mengambil pelbagai langkah pencegahan, termasuk penempatan anggota keselamatan, rondaan bersama PDRM, pemasangan CCTV berteknologi tinggi, dan ujian penggunaan anjing pengesan di beberapa laluan. Kerjasama juga dijalankan dengan MRT Corp bagi memperkukuh ciri keselamatan fizikal.
Namun, dengan jajaran rel lebih 200 km, Prasarana menegaskan ia tidak mampu menangani masalah itu sendirian. Sindiket masih boleh menjual kabel secara terbuka, menjadikan kecurian berulang.
Selagi sindiket jenayah ini masih mempunyai ruang untuk menjual kabel secara terbuka dan meraih keuntungan besar, selagi itulah kes kecurian kabel akan terus berulang. Keadaan ini menuntut pendekatan nasional yang lebih tegas, termasuk kawal selia lebih ketat terhadap rantaian penjualan kabel serta hukuman lebih berat terhadap pesalah berulang.
Sehubungan itu, Prasarana menyeru kerjasama agensi penguatkuasa, penggubal undang-undang, pemain industri dan orang awam untuk menangani isu tersebut. Orang ramai turut digalakkan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan jajaran rel kepada pihak polis.
{suggest}
