Ini Sebab Mengapa Malaysia Tidak Lagi Mendapat Set MY Bermula iPhone 12

Sebelum-sebelum ini, setiap negara mempunyai kod khusus iPhone yang berbeza. Untuk pasaran Malaysia, kita menerima set dengan kod MY/A manakala negara lain seperti Singapura adalah ZA/A dan lain-lain.

Namun, bermula pada iPhone 12, pengguna tidak lagi menerima set MY malah ia adalah dari set dengan kod nama ZP/A. Menerusi perkongsian dari Xavier Naxa, kod ZP/A ini adalah kod yang digunakan untuk Hong Kong, Singapura, dan Malaysia.

Apabila ditanya mengapa Malaysia tidak lagi menerima set MY, jawapannya mudah sahaja. Tiada lagi palam pengecas yang membezakan iPhone untuk setiap negara.

Seperti yang difahamkan, bermula pengenalan iPhone 12, tiada lagi palam pengecas yang disertakan. Disebabkan itu, Apple kelihatannya tidak mempunyai keperluan lagi untuk membezakan pasaran iPhone melalui negara disebabkan pengecas sudah tidak disertakan.

Antara model lain yang turut terlibat dengan kod ZP/A ini selain iPhone 12 adalah iPhone 11, iPhone 11 Pro, iPhone Pro Max, dan juga iPhone SE (2020).

Ini bermakna jika anda masih menerima iPhone dengan kod MY/A, itu adalah stok iPhone yang lama.

Dengan pengenalan iPhone 12 ini juga, secara tidak langsung kita boleh mengucapkan selamat tinggal kepada set MY untuk pengguna iPhone di Malaysia.

Sumber: ifon, Xaviernaxa

Berkaitan