Inilah Rupa Aplikasi "Bank Negara Malaysia" Yang Cuba Memperdaya Anda

Walaupun sudah diberitahu dan diingatkan berkali-kali tentang taktik penipuan yang digunakan penjenayah siber bagi menipu pengguna, tetapi malangnya masih terdapat lagi pengguna yang diperdaya.

Salah satu taktik yang digunakan scammer bagi menipu mangsanya adalah dengan berselindung disebalik aplikasi "Bank Negara Malaysia".

Seorang pengguna Facebook telah berkongsikan rupa aplikasi itu yang didakwa telah memerangkap ramai pengguna.

Pengguna terpedaya selepas dihubungi oleh penjenayah untuk memuat turun aplikasi itu kerana kononnya diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Selepas itu mangsa diminta pula memasukkan maklumat-maklumat sulit seperti nombor kad pengenalan, kad bank, nombor pin dan lain-lain.



Bagi anda yang mungkin belum sedia maklum, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyatakan bahawa BNM telah menghentikan penggunaan aplikasi mudah alih MyBNM pada tahun 2020.

Sejak tahun 2014 lagi juga pihak BNM telah mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan modus operandi scammer yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia, bank perdagangan atau agensi penguatkuasaan (termasuk Polis dan Lembaga Hasil).

Pengguna diingatkan supaya mengabaikan sebarang panggilan telefon, mesej atau emel yang meminta anda memuat turun aplikasi tersebut.



Sebelum ini telah dilaporkan tentang pengguna yang terpedaya dengan aplikasi ini. Akibatnya mangsa kehilangan sehingga puluhan ribu ringgit.

Sumber: bnm.gov.my, Facebook Team Bertindak Banteras Scammer 

Baca juga: