Sejak kebelakangan ini, banyak kita dengar tentang bank digital dan baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan Grab untuk menubuhkan bank digital pertama di Malaysia.
GX Bank Berhad (GXBank) akan menjadi bank digital pertama negara yang diterajui oleh Grab sendiri. Ujian beta bakal dilaksana tidak lama lagi. Tapi apa sebenarnya bank digital tu?
Konsep Bank Digital
Konsep bank digital secara asasnya adalah perbankan dalam talian dan perbankan mudah alih di bawah satu payung yang sama.
Perbankan dalam talian membolehkan pelanggan mengakses ciri-ciri dan perkhidmatan sedia ada melalui laman web rasmi bank tersebut.
Hanya dengan log masuk ke akaun bank sendiri, pelanggan boleh menyemak baki, membayar bil, memohon pinjaman mahu pun menyemak kemas kini terbaru yang ada.
Sementara itu, perbankan mudah alih pula adalah menggunakan aplikasi untuk mengakses pelbagai ciri bank melalui peranti mudah alih seperti telefon pintar atau tablet.
Aplikasi-aplikasi tersebut ada hak milik dan dibangunkan oleh institusi perbankan itu sendiri di mana anda perlu log masuk guna akaun bank sendiri sama seperti laman web bank tersebut.
Bank digital memanfaatkan teknologi digital seperti aplikasi mudah alih, AI dan analisis data untuk menawarkan perkhidmatan pada harga yang lebih murah.
Pelanggan bank digital mempunyai akses kepada akaun mereka sepanjang masa melalui peranti sedia ada. Seperti aplikasi perbankan yang lain, pelanggan boleh melakukan transaksi, membuat bayaran, menguruskan kewangan, menyemak baki dan lain-lain.
Secara purata, bank digital mempunyai yuran dan kadar yang agak kompetitif berbanding bank konvensional. Oleh itu, kehadiran institusi kewangan ini membawakan persaingan dalam industri.
Kelebihan-Kelebihan Perbankan Digital
Akses – Dengan kebergantungan secara dalam talian, anda tidak perlu terikat dengan waktu operasi bank untuk menguruskan kewangan anda.
Kadar dan yuran yang rendah – Bank digital menawarkan kadar dan yuran yang lebih baik dan rendah berbanding bank konvensional. Jadi, ini memberikan anda pilihan perbankan yang lain untuk dipertimbangkan.
Ekuiti – Bank digital memberikan akses kewangan kepada kawasan yang mempunyai akses teknologi dan peranti tetapi jauh daripada cawangan kewangan yang terdekat.
Kekurangan-kekurangan Perbankan Digital
Masa – Jika anda bergantung sepenuhnya kepada bank digital, ia akan menjadi satu cabaran besar sekiranya aplikasi atau perbankan dalam talian itu mempunyai gangguan atau sedang diselenggara. Dek kerana institusi tersebut tidak mempunyai cawangan fizikal.
Persekitaran baharu – Bagi individu yang tidak biasa dengan teknologi, perbankan digital ini mungkin adalah suatu inovasi yang agak sukar untuk dicernakan.
Keselamatan – Dengan semua urusan, akses dan transaksi dilakukan secara digital dan dalam talian, risiko keselamatan dan ancaman penggodaman akan sentiasa ada.
{suggest}
Walau bagaimanapun, kehadiran bank digital dalam negara kita ini mampu menjadi pemangkin kepada perubahan dalam institusi kewangan kita untuk lebih baik, maju dan moden.
Sumber: Forbes Advisor