Ini Harga Untuk Kesemua Model Laptop Asus ROG Yang Baru

Pada bulan yang lalu, Asus telah pun mengumumkan barisan komputer riba ROG mereka yang baharu semasa acara CES 2021.

Kini, ia secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia. Terdapat lima siri yang hadir buat pasaran tempatan iaitu:

  • ROG Strix G15 dan G17

  • ROG Strix Scar 15 dan Scar 17

  • ROG Zephyrus G15

  • ROG Zephyrus Duo 15 SE

  • ROG Flow X13+XG Mobile


ROG Strix G15 dan G17




Siri komputer riba Asus ROG Strix G boleh dikatakan antara yang paling mampu milik bagi yang ingin memiliki komputer riba gaming.

Hadir dengan dua varian iaitu komputer riba dengan saiz 15 inci dan juga 17 inci. Ia dikuasakan dengan cip pemproses terbaru daripada AMD yang menyokong sehingga Ryzen 9 5900HX dan digandingkan kad grafik NVIDIA sehingga RTX 3070.



Dari segi paparan, ia dilengkapi paparan FHD dengan kadar penyegaran 300Hz, 100% sRGB atau WQHD 165Hz dan 100% format warna DCI-P3.

Turut dimuatkan pembesar suara Dolby Atmos Surround dan teknologi pembatalan hingar aktif AI untuk bunyi audio yang jelas semasa bercakap.

Harga jualan bagi varian G15 adalah bermula RM5799 dan RM5999 bagi varian G17 yang masing-masing tersedia pada pertengahan Februari.

ROG Strix Scar 15 dan Scar 17




Siri komputer riba ini adalah bagi golongan yang mahukan prestasi lebih berkuasa berbanding siri ROG G.

Seperti siri ROG G, ia dikuasakan cip pemproses AMD Ryzen 9 5900HX yang dipadankan kad grafik berkuasa daripada NVIDIA sehingga RTX 3080.

Paparannya pula antara yang terpantas dimana hadir dengan paparan FHD dengan kadar penyegaran 360Hz atau resolusi WQHD dengan kadar penyegaran 165Hz.



Selain itu, siri ROG Strix Scar juga didatangkan papan kekunci mechanical yang mampu memberikan pengalaman bermain lebih baik serta ketepatan apabila menggunakannya.

ROG Strix Scar 15 dijual dengan harga bermula RM8599 sementara ROG Strix Scar 17 harga bermula RM8799.

ROG Zephyrus G15




Siapa yang tidak kenal akan komputer riba paling berkuasa daripada Asus iaitu siri ROG Zephyrus. Selain prestasi yang cemerlang, hadir juga dengan ciri menarik yang dipanggil AniMe Matrix.

Tidak banyak perubahan berbanding model terdahulu. Model baharu ini dikemaskini dengan sokongan Ryzen 9 5900HS dan kad grafik NVIDIA sehingga RTX 3080.



Dilengkapi paparan 15.6 inci beresolousi WQHD serta kadar penyegaran 165Hz. Malah, paparannya juga menerima penarafan pantone bagi ketepatan warna yang dikeluarkan.

Tanda harga bagi Asus ROG Zephyrus G15 adalah bermula RM6999 yang akan tersedia sekitar pertengahan Februari.

ROG Zephyrus Duo 15 SE




Siri ini bukanlah sebuah siri baharu tetapi Asus kali ini menaik taraf perkakas komputer riba ini dengan lebih berkuasa.

ROG Zephyrus Duo 15 SE adalah sebuah komputer riba yang hadir dengan dua paparan skrin yang dijana cip Ryzen 9 5900HX dan pilihan kad grafik NVIDIA sehingga RTX 3080.



Paparan utama dilengkapi resolusi 4K 120Hz atau FHD 300Hz yang masing-masing menerima penarafan pantone. Sementara paparan kedua turut menyokong sehingga resolusi 4K. Komputer riba ini dijual pada harga bermula RM12999.

ROG Flow X13 + XG Mobile




ROG Flow X13 adalah sebuah siri komputer riba gaming yang nipis daripada Asus.

Ia dikuasakan cip pemproses Ryzen 7 5800HS atau Ryzen 9 5900HS bersama-sama kad grafik NVIDIA GTX 1650.



Dilengkapi skrin boleh sentuh dengan UHD 60Hz atau FHD 120Hz. Ia juga boleh dikatakan komputer riba yang mudah dibawa kerana skrin boleh dilipat sehingga 360 darjah bagi penggunaan tablet.



Walaupun kad grafik di dalam tidak mencukupi, Asus memberi penawaran kad grafik luaran mudah alih yang digelar ROG XG Mobile.



Dengan berat hanya 1kg, ia mampu memainkan permainan dengan lancar kerana dilengkapi kad grafik NVIDIA RTX 3080.

Harga jualan bermula RM5999 bagi komputer riba sahaja atau RM13,499 untuk bundle sekali bersama ROG XG Mobile.