Ini Cara Tebus Internet Percuma Melalui Telco Maxis

Menerusi perutusan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan internet percuma untuk semua bermula 1 April ini. Berdasarkan pengumumuman tersebut, internet percuma 1GB sehari akan diberikan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tamat.



Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM600 juta bagi pemberian internet percuma yang juga merupakan kerjasama antara syarikat-syarikat telekomunikasi. Bagi anda yang menggunakan perkhidmatan Maxis, pas harian 1GB akan diberi untuk kegunaan dari 8 pagi hingga 6 petang bermula 1 April ini.

Dengan menggunakan aplikasi MyMaxis, MyMaxis Biz atau Hotlink Flex, anda boleh menebus internet percuma ini dengan cara, tekan pada "Get More Data" dan pilih "FREE 1GB/Day Pass" pada bahagian "Time Based Pass".

Seterusnya, bagi pengguna aplikasi Hotlink Red, hanya perlu tekan pada "Homepage Banner" dan pilih "FREE 1GB/Day Pass" untuk menebus internet percuma ini. Pas ini juga boleh ditebus melalui tab "Shop".



Perlu diingatkan, pas ini tidak diberikan secara automatik yang bermaksud anda perlu menebus secara harian melalui saluran yang disebutkan sebelum ini. Anda juga boleh menebus pada bila-bila masa dimana ia terhad kepada sekali penebusan untuk setiap hari, namun penggunaan pas ini hanya sah dari 8 pagi hingga 6 petang sahaja.

Tawaran ini tersedia bagi semua pelanggan Maxis Postpaid (Pelan Pengguna dan Perniagaan) serta pelanggan Hotlink Postpaid dan Prepaid. Ia tidak tersedia kepada pelanggan MaxisONE Prime kerana telah sedia ada menerima perkhidmatan internet tanpa had.

Terdahulu, Maxis juga menawarkan internet percuma 3GB kepada semua pengguna Maxis, Maxis Business dan Hotlink Postpaid. Untuk menebus, anda perlu membuka aplikasi MyMaxis, MyMaxis Biz atau Hotlink Flex dan pilih pada banner "FREE 3GB pass".

Untuk maklumat lebih lanjut, layari laman sesawang Maxis.