Ini Antara Aplikasi Pengesanan Kontak Covid-19 Yang Dibangunkan Di Malaysia

Bagi melakukan pengesanan kontak Covid-19 dan membendung penularan wabak Covid-19, pelbagai langkah telah dilakukan oleh semua pihak. Ia termasuk menghasilkan beberapa aplikasi yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut.

Pada masa ini, terdapat 3 aplikasi yang telah dibangunkan oleh kerajaan Malaysia dan di bawah ini merupakan aplikasi tersebut:

MySejahtera


MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan melalui kerjasama strategik Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).



Aplikasi ini dibangunkan untuk memberikan kemudahan untuk membantu individu mendapatkan bantuan kesihatan dan tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti COVID -19 serta mengenal pasti hospital atau klinik terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan COVID -19.

MySejahtera telah dilancarkan pada awal April lalu di Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), App StorePlay Store dan Huawei AppGallery.

GERAK Malaysia


Aplikasi GERAK Malaysia telah dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk menyampaikan maklumat terkini berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berita dan statistik berkenaan Covid-19.



Melalui aplikasi ini, ia membantu pihak berkuasa mengesan kontak dan menganalisa pergerakan pengguna di seluruh negara dalam menangani  penularan Covid-19 dengan berkesan. Selain itu, aplikasi ini bertujuan untuk memudahan urusan pengguna yang memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam tempoh PKP.

Sebarang permintaan kecemasan termasuk bekalan makanan dan preskripsi ubat juga boleh dilakukan menerusi aplikasi ini. Walaupun aplikasi GERAK Malaysia telah tersedia di Play Store dan App Store, namun ia masih berada pada peringkat beta (beta testing).

MyTrace


MyTrace merupakan aplikasi yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MoSTI).

Pembangunan aplikasi ini merupakan ilham daripada negara Singapura yang telah melancarkan satu aplikasi telefon pintar yang bernama Trace Together pada bulan lalu.



Berdasarkan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, aplikasi ini akan dihantar kepada Play Store dan App Store dalam masa terdekat.

Menggunakan teknologi Bluetooth, aplikasi MyTrace dikatakan dapat membantu mengesan kontak rapat terutama apabila PKP dilonggarkan. Maklumat lokasi juga tidak dirakam bagi menjaga privasi pengguna.

Dengan aplikasi-aplikasi yang disenaraikan, ia mungkin dapat memudahkan semua pihak untuk mendapatkan maklumat mengenai kontak Covid-19 dengan lebih mudah.

*Kemaskini - Aplikasi Gerak Malaysia yang telah diperkenalkan oleh SKMM tidak diperakukan dan dibuat sebarang penilaian oleh MKN, menurut ciapan di Twitter. Ia mungkin disebabkan oleh isu pengesanan data lokasi pada aplikasi tersebut.

Dalam pada itu, pihak MKN menyatakan mereka bakal bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk usaha menggabungkan aplikasi MySejahtera dan MyTrace.