Apabila kita hendak membina sesebuah komputer (PC), komponen cip pemprosesan (CPU) merupakan antara elemen yang sangat penting dalam binaan tersebut.
CPU merupakan minda bagi sebuah binaan PC yang bertanggungjawab mengendalikan dan melaksanakan sebarang tugasan yang kita berikan kepadanya seperti tugasan profesional, suntingan dan yang paling penting sekali bagi saya adalah “gaming”.
Tetapi, masalah datang apabila kita sukar untuk memilih CPU yang terbaik untuk binaan PC sendiri. CPU terbaik bagi seseorang itu tidaklah terhad pada kemampuan prestasinya sahaja.
Namun, ia adalah yang CPU yang berada dalam lingkungan bajet anda. Hal ini demikian, anda sukar untuk mendapatkan komponen lain yang sepadan dan berkualiti dalam binaan PC jika anda terlebih belanja pada komponen CPU.
Tambahan lagi, sesebuah binaan PC dengan CPU yang berkuasa tidak dapat mencapai potensinya apabila dipadankan komponen lain seperti PSU (Power Supply Unit) atau memori RAM (Random Access Memory) serta GPU yang tidak setanding dengan CPU tersebut.
Oleh itu, suka saya untuk berkongsi dengan pembaca akan senarai pilihan cip pemprosesan AMD yang terbaik dan sesuai mengikut bajet dan keperluan anda.
AMD Ryzen 5 5600G
(CPU Kelas Permulaan Yang Terbaik Untuk ‘Gaming’)
Cip AMD Ryzen 5 5600G merupakan kehadiran baharu dalam arena binaan PC dan APU (Accelerated Processing Unit) terutamanya. APU bermaksud sebuah CPU dengan kad grafik yang terbina di dalamnya.
Dengan harga sekitar RM800 sahaja, Ryzen 5 5600G menawarkan prestasi gaming yang hampir sama (~sekitar 96%) dengan saudaranya, Ryzen 7 5700G dan pada harga yang lebih mesra bajet untuk anda.
Unit pemprosesan grafik Vega padanya juga memberi prestasi gaming yang berkuasa dalam segmen harga ini jika anda memilih untuk membina sebuah PC tanpa komponen kad grafik.
CPU ini juga memberi prestasi yang solid pada resolusi 720p dan 1080p juga. Oleh itu, ini sangat sesuai jika anda lebih suka bermain permainan e-sukan seperti Valorant, Dota 2, LoL dan lain-lain.
Menariknya, AMD menyertakan sekali penyejuk Wraith Stealth bersama CPU ini. Jadi, anda tidak perlu menyediakan bajet untuk penyejuk CPU anda. Ryzen 5 5600G juga sesuai dengan papan ini yang menyokong soket AM4.
Beli jika:
- Anda mempunyai bajet yang terhad.
- Anda peminat game e-sukan dalam platform PC
- Anda okey pada resolusi 720p/1080p dalam bermain game di PC.
Jangan beli jika:
- Anda mempunyai bajet yang lebih.
- Anda ingin bermain game yang lebih ‘dahagakan’ grafik daripada GPU.
- Anda mahu prestasi gaming 1080p yang lebih kukuh dan solid.
Boleh beli di shopee – https://invle.co/clcbii0
AMD Ryzen 5 5600X
(CPU Bajet Terbaik Keseluruhan Untuk ‘Gaming’)
Ryzen 5 5600X merupakan sebuah CPU dengan kemampuan ciri overclock dan memberikan prestasi gaming yang benar-benar berkuasa dan berbaloi dengan harganya.
Sebagai perbandingan, cip ini mampu bersaing dengan Intel 10600K dan 10700K dalam mengendalikan perisian penanda aras Cinebench R20 3D. Dan sejujurnya, CPU ini mampu bersaing dengan CPU Intel yang pernah menjadi ‘King’ pada ketika dulu, 10900K dalam prestasi mengendalikan kebanyakan game yang ada ketika ini.
Dalam tugasan suntingan, rendering dan kreatif yang lain, CPU ini mampu melaksanakan kerja tersebut walaupun ia tidak sehebat prestasi CPU yang memang menfokuskan tugasan kreatif tersebut.
Walaupun begitu, Ryzen 5 5600X adalah sebuah CPU untuk mereka yang suka bermain game di PC kerana CPU ini menyerlahkan potensinya yang sebenar dalam mengendalikan gaming.
Biarpun Ryzen 5 5600X dibekalkan sekali penyejuk Wraith Stealth seperti 5600G, tetapi ia memberi prestasi gaming yang ketara di antara kedua-duanya.
Satu sahaja kelemahan saya jelas pada CPU ini di mana ia memerlukan penyejuk yang lebih berkuasa jika anda ingin ‘memerah’ (overclocking) CPU ini setiap kali anda bermain game.
Berdasarkan ketersediaan CPU ini dilaman pembelian online, Ryzen 5 5600x dijual pada tanda harga sekitar RM900 ke RM1,000 sahaja.
Beli jika:
- Anda mencari CPU gaming berprestasi tinggi dengan harga mesra bajet.
- Anda mencari CPU dengan ciri overclock pada harga yang berbaloi.
- Anda mahukan pengalaman gaming 1080p yang lancar dan solid.
Jangan beli jika:
- Anda ingin mencari pengalaman gaming pada resolusi 4k.
- Anda merasakan ada CPU Intel yang lain memberikan nilai yang lebih berbaloi berbanding CPU ini.
Boleh beli di Shopee – https://invle.co/clcbij0
AMD Ryzen 7 5700G
(CPU Terbaik Untuk Binaan PC Tanpa Kad Grafik)
CPU daripada AMD merupakan antara pilihan terbaik bagi anda yang berhasrat untuk membina PC tanpa komponen kad grafik. Maksud abjad “G” dibelakang namanya adalah CPU ini mempunyai kad grafik terintegrasi RX Vega 8 yang dibina sekali di dalamnya.
Jika anda terkesan dengan harga kad grafik yang masih mahal, faktor binaan PC tanpa kad grafik adalah pilihan yang terbaik yang boleh anda pertimbangkan dan Ryzen 7 5700G ini pula merupakan CPU terbaik bagi binaan ini.
Secara keseluruhan, Ryzen mempunyai prestasi yang memberangsangkan dan berkemampuan dalam mengendalikan kesemua tugasan sama ada produktiviti, profesional mahu pun ketika bermain permainan video.
Sebagai penanda aras untuk anda, prestasi yang ditawarkan CPU ini sama ada setara atau lebih hebat lagi daripada Intel Core i9-9900K yang merupakan CPU paling berkuasa untuk gaming pada ketika dahulu.
Dengan seni bina Zen 3, Ryzen 7 5700G menawarkan kecekapan kuasa yang lebih hebat berbanding saingannya. Ketika pengujiannya melalui Cinebench R20, Ryzen 7 5700G hanya mencatatkan penggunaan kuasa tertinggi sebanyak 77W sahaja.
Sedangkan Intel Core i7-11700K mampu mencatatkan penggunaan kuasa hingga 3 kali ganda lebih tinggi berbanding angka Ryzen itu. Perkara yang kurang pada CPU ini adalah ia hanya menyokong PCIe Gen3 sahaja dan bukan Gen4 yang merupakan arus perdana ketika ini.
Secara tidak langsung ia mengehadkan pengguna sekiranya mahu membeli komponen seperti storan SSD yang berkelajuan tinggi dan memanfaatkan kelajuan yang ditawarkan teknologi PCIe Gen4.
Berdasarkan harga jualann CPU ini daripada penjual yang berbeza, anda boleh membeli Ryzen 7 5700G pada harga sekitar RM1,300 hingga RM1,500.
Beli jika:
- Anda mahukan CPU dengan prestasi yang tinggi dalam keseluruhan tugasan.
- Anda mencari CPU yang terbaik untuk binaan PC tanpa kad grafik.
- Anda mahu sebuah CPU yang berkuasa tetapi cekap tenaga pada masa yang sama.
Jangan beli jika:
- Anda mencari CPU yang menyokong ketersambungan PCIe Gen4.
- CPU ini berada di luar bajet anda.
- Anda lebih suka CPU daripada jenama Intel.
Boleh beli di Shopee – https://invle.co/clcbikr
AMD Ryzen 7 5800X3D
(CPU Terbaik Keseluruhan Untuk ‘Gaming’)
AMD mempunyai banyak pilihan CPU yang tersedia untuk anda sama ada untuk tugasan produktiviti mahu pun gaming. Tetapi pada ketika ini, Ryzen 7 5800X3D merupakan CPU terbaik untuk gaming bagi anda yang mencari di luar sana.
Percaya atau tidak, CPU ini memberikan prestasi yang sangat memberangsangkan hingga mampu bersaing secara rapat dengan Intel Core i9-12900K dan i9-12900KS tetapi dengan harga yang jauh lebih berbaloi dan murah.
Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan prestasi hebat yang ada pada CPU ini. Selain itu, Ryzen 7 5800X3D juga berada pada tanda harga sekitar ~RM2,150 yang agak kompetitif berbanding pesaing yang lain.
Disebabkan CPU ini bersesuaian dengan papan induk AM4 daripada AMD, jadi ia menyokong ketersambungan PCIe Gen4 yang lebih pantas berbanding berbanding Ryzen 7 5700G.
Oleh itu, anda dapat memanfaatkan ketersambungan itu untuk membeli komponen lain seperti storan SSD dan memori RAM yang lebih pantas.
CPU ini juga mempunyai prestasi yang tinggi dalam multi-bebenang dan bebenang tunggal. Jadi tugasan seperti suntingan dan gaming itu tidak menjadi masalah kepada anda.
Beli jika:
- Anda mencari CPU gaming yang pantas dan berkuasa daripada AMD.
- Anda mempunyai bajat yang tinggi untuk dilaburkan dalam binaan PC anda.
- Anda tidak kisah akan ketiadaan ciri overclock dalam sesebuah CPU itu.
Jangan beli jika:
- Anda mencari sebuah CPU dengan binaan grafik tersedia di dalamnya.
- Anda mempunyai bajet yang mesra poket.
- Anda sudah okey dengan prestasi gaming pada resolusi 1080p dan ke bawah.
Boleh beli di Shopee – https://invle.co/clcbill
AMD Ryzen 9 5900X
(CPU Terbaik Untuk Prestasi Ekstrem Tetapi Pada Harga yang berpatutan)
CPU terbaru dalam siri Ryzen 9 ini hanya boleh saya simpulkan dalam satu ayat ayat – “campak sahaja apa-apa game padanya, semuanya mampu dikendalikan olehnya”.
Dengan 12 teras dan 24 bebenang, ‘gergasi’ ini mampu mengendalikan apa-apa resolusi dalam tetapan game yang anda hendak mainkan.
Dalam tugasan kreatif dan profesional, tiada sebarang masalah jika anda mempunyai tugasan dalam suntingan video mahu pun 3D rendering.
Hanya satu sahaja kekurangan pada CPU ini, AMD tidak membekalkan sebarang penyejuk dari dalam kotak CPU ini. Tetapi pilihan tersebut bagi saya merupakan satu teknik yang bijak.
Hal ini demikian, Ryzen 9 5900X sebuah CPU yang berkuasa dan memerlukan penyejuk yang lebih padu dan praktikal daripada pihak ketiga untuk mengendalikan kuasa pemprosesannya.
Mungkin AMD tahu bahawa penyejuknya tidak mampu mengendalikan Ryzen 9 5900X ini dan tidak mahu pengguna menyalahkan mereka sekiranya masalah timbul apabila menggunakan penyejuk daripada AMD.
Oleh itu, saya menyarankan untuk mendapatkan penyejuk yang lebih berkualiti seperti penyejuk AIO untuk mengendalikan Ryzen 9 5900X ini.
Anda mungkin terfikir untuk memilih alternatif Ryzen 9 5950X, tetapi saya tidak menyarankan kerana harganya yang jauh berbeza dengan 5900X. Sedangkan 5900X sudah memberikan prestasi yang bukan setakat cukup tetapi lebih dari cukup untuk mengendalikan games anda.
Menariknya, harga pasaran untuk AMD Ryzen 9 5900X ini telah turun kepada ~RM1,900 sahaja berbanding harga asalnya, RM2,550. Harga tersebut lebih murah berbanding Ryzen 7 5800X3D.
Beli jika:
- Anda mencari prestasi ekstrem sesebuah CPU dalam harga mesra poket.
- Ryzen 9 5900X berada dalam bajet untuk binaan PC anda.
Jangan beli jika:
- Anda memilih untuk membeli Ryzen 9 5950X.
- Harga baharu Ryzen 9 5900X ini masih di luar kemampuan bajet anda.
Boleh beli di Shopee – https://invle.co/clcbim8
Saya berharap perkongsian ini dapat membantu anda di luar sana dalam membuat pilihan CPU yang terbaik untuk binaan PC anda sama ada binaan tanpa kad grafik ataupun yang biasa.
Walau bagaimanapun, saya ingin tekankan sekali lagi bahawa tiada CPU yang terbaik secara mutlak kerana bagi saya itu bergantung kepada perspektif masing-masing. Tiada CPU yang terbaik bagi sesebuah binaan PC melainkan yang berada dalam bajet anda sendiri.
**Harga dan ketersediaan untuk setiap cip dalam senarai ini adalah ketika artikel ini ditulis. Oleh itu, setiap harga dan ketersedian adalah tertakluk kepada sebarang perubahan.