Indonesia menyasarkan untuk memulakan operasi komersial loji tenaga nuklear berskala kecil pada 2032, tujuh tahun lebih awal daripada sasaran awalnya pada 2039.
Ia sebagai usaha kerajaan itu untuk memenuhi permintaan tenaga domestik tanpa meninggalkan komitmen bersih-sifarnya di bawah Perjanjian Paris.
Tapak loji nuklear pertama negara itu juga sudah dikenal pasti, iaitu akan dibina di Pulau Kelasa di wilayah Bangka Belitung.
Loji nuklear itu akan dimulakan dengan reaktor prototaip yang akan dihantar oleh Korea Selatan pada 2028 melalui laluan laut, dengan jumlah pelaburan untuk projek itu ditetapkan berjumlah Rp 17 trilion (~RM4.7 bilion) meliputi tinjauan, penyelidikan, pemindahan teknologi dan infrastruktur.
Permintaan elektrik di dalam negara itu dijangka meningkat 50 peratus menjelang 2030 dan kemudian lima kali ganda menjelang 2060.
Jadi, Kerajaan Indonesia telah mengumumkan rancangan untuk membina sekurang-kurangnya 20 loji tenaga nuklear, dengan projek pertama dijangka diberikan kepada pemaju nuklear AS, ThorCon.
ThorCon di laman rasmi mereka menerangkan, rancangan untuk memperkenalkan kuasa nuklear ke Indonesia mempunyai dua bahagian.
Fasa 1 ialah membina dan menguji Thorcon 500 500 MW, dengan pentauliahan langkah demi langkah, berakhir dengan lesen jenis yang diluluskan untuk loji itu.
Fasa 2 ialah pengeluaran limbungan enam loji Thorcon 500 untuk membantu syarikat utiliti Indonesia menyediakan tambahan 3 GW kuasa elektrik yang murah dan boleh dipercayai untuk menyokong pembangunan ekonomi.
Kemudahan nuklear ThorCon akan menggunakan Reaktor Garam Lebur Thorium (TMSR), dijangka membekalkan 500 MW elektrik rendah karbon.
{suggest}
Sumber: The Jakarta Post, Thorncon, Recessary