India Rancang Larang Penggunaan Kenderaan Diesel 4 Roda Menjelang 2027

India dilaporkan merancang untuk menguatkuasakan larangan penggunaan kenderaan diesel menjelang tahun 2027 nanti.

Jawatankuasa Penasihat Peralihan Tenaga Kementerian Petroleum India dikhabarkan telah menyerahkan laporan akhirnya, yang menggesa pengharaman sepenuhnya ke atas kenderaan 4 roda berkuasa diesel di semua bandarnya yang mempunyai populasi lebih sejuta menjelang 2027.

Panel penasihat itu menyatakan bahawa hala tuju keseluruhan untuk pengangkutan darat mestilah mengutamakan penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Jawatankuasa itu mengesyorkan agar larangan ke atas kenderaan 4 roda berkuasa diesel perlu dikuatkuasakan dalam tempoh 5 tahun dan mencadangkan supaya tiada bas diesel ditambah di kawasan bandar.

Diesel menyumbang kira-kira dua perlima daripada penggunaan bahan api ditapis di India dengan 80% daripadanya digunakan dalam sektor pengangkutan.

Sejak dari tahun 2014, India telah mengenakan piawaian kecekapan bahan api ke atas kenderaan awam. Setelah dilaksanakan pada 2015, piawaian ini mewajibkan sasaran kecekapan untuk kereta baharu pada bersamaan 130 gCO2/km pada 2017 dan 113 gCO2/km pada 2022.

Pelabelan kecekapan bahan api untuk kenderaan baharu di negara itu telah diwajibkan sejak tahun 2011 lagi.

India juga telah membangunkan skim Penggunaan Lebih Cepat dan Pembuatan Kenderaan Elektrik (FAME) pada tahun 2015 yang direka dengan tujuan untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan hibrid dan elektrik melalui pemberian subsidi yang mengurangkan harga pembelian pendahuluan bagi kenderaan kategori ini.

{suggest}

Sumber: Reuters, IEA