Imej Sebenar Peranti Vivo NEX 2 Didedahkan, Tampil Dengan Sistem RGB

Seperti yang kita ketahui, Vivo akan memperkenalkan generasi kedua model Vivo NEX mereka pada 11 Disember ini. Sehubungan dengan itu, beberapa foto yang dikatakan imej sebenar peranti berkenaan telah pun didedahkan di laman Weibo baru-baru ini.



Dari pandangan sisi hadapan, peranti tersebut kelihatan tidak jauh berbeza dengan generasi terdahulu. Ia didakwa akan hadir dengan skrin paparan bersaiz 6.59-inci serta sokongan pengimbas cap jari dari dalam skrin.

Apa yang menarik pada keluaran baru Vivo ini sudah tentu panel belakangnya. Selain bakal digunakan sebagai panel paparan kedua bersaiz 5.5-inci, ia juga dilengkapi dengan satu lingkaran bulat dengan sistem pencahayaan RGB di sekitar kamera utamanya.



Lingkaran tersebut dikenali sebagai Lunar Ring dan ia akan berfungsi sebagai penunjuk LED untuk notifikasi. Seterusnya, tangkapan swafoto juga akan dibuat melalui skrin keduanya lantas membolehkan peranti ini dibina tanpa sebarang lensa kamera hadapan.

Kapsyen: Weibo


Imej ini memperlihatkan tiga lensa kamera dengan jelas, namun lensa ketiga pada peranti ini berkemungkinan adalah lensa 3D ToF, sama seperti Oppo R17 Pro.

Kapsyen: Weibo


Menurut koleksi gambar ini, hanya dua variasi warna sahaja ditawarkan iaitu biru dan merah. Bagaimanapun, maklumat mengenai spesifikasi dalaman peranti ini masih disimpan dengan rapi oleh pihak Vivo.

Maka untuk mengetahuinya, kita perlu menunggu sehingga acara pelancarannya pada 11 Disember nanti.

 

Sumber: Weibo