Kami tidak sabar menunggu pelancaran ketibaan semula model RAZR yang pernah menjadi peranti legenda pada suatu masa dahulu. Sebelum ini, imej acah peranti tersebut telah dimuat naik oleh pihak Motorola sendiri. Hari ini nampaknya, imej peranti tersebut telah dimuat naik ke internet oleh @evleaks.
Melihat kepada rekaan peranti, skrin di bahagian atas mempunyai takuk yang memuatkan sensor dan kamera hadapan. Manakala di bawah pula terdapat binaan dagu tebal yang selari dengan rekaan RAZR asal. Terdapat rekaan bujur berkemungkinan ia adalah pengimbas cap jari. Di bahagian tengah pula terdapat mekanisme engsel dengan binaan kompleks.
Agak menarik pada masa yang sama juga pelik kerana ketika peranti ini ditutup, paparan terlipat secara rata dan bersudut bukannya skrin lipat secara melengkung seperti yang terdapat pada Samsung Galaxy Fold. Jika benar rekaan akhirnya sebegini, agak menakjubkan memandangkan Samsung pun tidak mampu mereka bentuk rekaan sebegitu.
Seupama RAZR yang asal, peranti mempunyai 2 skrin di bahagian luar dan dalam. Berkemungkinan resolusi skrin di luar adalah kecil dan hanya sesuai untuk paparan notifikasi serta menjawab panggilan telefon.
Menurut sumber, Motorola RAZR akan dijana oleh Snapdragon 710, skrin utama bersaiz 6.2 inci OLED. Peranti ini akan dilancarkan secara rasmi pada 13 November menurut poster acah. Untuk peranti boleh lipat, bahagian engsel dan kualiti skrin merupakan elemen yang terpenting. Jika bahagian tersebut tidak meyakinkan pengguna, keseluruhan produk akan kurang menarik minat pembeli untuk membelinya. Apa kata anda dengan rekaan peranti boleh lipat Motorola RAZR 2019 ini?
Sumber: @evleaks