OpenAI pada Jumaat mengumumkan bahawa ia akan mula menguji paparan iklan di ChatGPT dalam beberapa minggu akan datang, ketika chatbot kecerdasan buatan yang sangat popular itu berusaha meningkatkan pendapatan bagi menampung kos operasinya yang semakin meningkat.
Menurut kenyataan dalam catatan blog syarikat, iklan pada peringkat awal akan dipaparkan di Amerika Syarikat kepada pengguna percuma dan pelanggan pelan peringkat rendah. Pelanggan Premium Pro dan Enterprise akan kekal bebas iklan.
Penggunaan iklan merupakan persoalan utama dalam kalangan penyedia chatbot AI generatif, dengan kebanyakan syarikat sebelum ini enggan mengganggu pengalaman pengguna dengan iklan.
Namun, kos operasi AI yang sangat tinggi dipercayai memaksa OpenAI mengambil langkah tersebut.
Hanya sebahagian kecil daripada hampir satu bilion pengguna ChatGPT membayar yuran langganan, sekali gus memberi tekanan kepada OpenAI untuk mencari sumber pendapatan baharu.
Sejak dilancarkan pada 2022, penilaian OpenAI melonjak kepada AS$500 bilion melalui beberapa pusingan pembiayaan — tertinggi bagi mana-mana syarikat persendirian.
Ada pihak menjangkakan ia boleh disenaraikan awam dengan penilaian mencecah AS$1 trilion.
Namun, OpenAI juga membelanjakan dana yang sangat besar, terutamanya untuk kuasa pengkomputeran bagi menyokong perkhidmatannya.
Langkah ini menjadikan model perniagaan OpenAI lebih hampir kepada gergasi teknologi seperti Google dan Meta, yang membina empayar pengiklanan melalui perkhidmatan percuma mereka.
Amazon juga membangunkan perniagaan iklan yang kukuh melalui platform beli-belah dan penstriman videonya.
“Iklan bukan gangguan dalam perlumbaan AI generatif; ia adalah cara OpenAI kekal bersaing,” kata penganalisis Emarketer, Jeremy Goldman.
“Jika ChatGPT mengaktifkan iklan, OpenAI mengakui satu perkara penting: perlumbaan ini bukan lagi soal kualiti model semata-mata, tetapi bagaimana mengewangkan perhatian tanpa menjejaskan kepercayaan,” tambahnya.
Langkah ini dibuat ketika Google semakin mencabar dalam persaingan AI generatif, dengan menyepadukan ciri AI ke dalam Gmail, Maps dan YouTube, selain chatbot Gemini yang bersaing terus dengan ChatGPT.
Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, sebelum ini menyatakan ketidaksukaannya terhadap pengiklanan kerana bimbang ia boleh menjejaskan kepercayaan terhadap kandungan ChatGPT.
Bagi menangani kebimbangan itu, OpenAI memberi jaminan bahawa iklan tidak akan mempengaruhi jawapan ChatGPT dan perbualan pengguna kekal peribadi daripada pengiklan.
“Iklan tidak mempengaruhi jawapan yang diberikan ChatGPT,” kata syarikat itu. “Jawapan dioptimumkan berdasarkan apa yang paling berguna untuk anda. Iklan sentiasa berasingan dan dilabel dengan jelas.”
– ‘Kepercayaan mengatasi pendapatan’ –
Pengumuman itu dibuat oleh Fidji Simo, Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi OpenAI, bekas eksekutif Meta yang pernah mengurus perniagaan pengiklanan syarikat media sosial itu sebelum menyertai Instacart.
“Apabila kami memperkenalkan iklan, adalah penting untuk mengekalkan nilai utama ChatGPT,” kata Simo. “Ini bermakna pengguna perlu yakin bahawa respons ChatGPT didorong oleh apa yang benar-benar berguna, bukan oleh pengiklanan.”
Dalam rujukan tersirat kepada Meta, TikTok dan YouTube milik Google — yang sering dituduh memaksimumkan penglibatan pengguna demi iklan — OpenAI berkata ia tidak akan “mengoptimumkan masa yang dihabiskan dalam ChatGPT”.
“Kami mengutamakan kepercayaan dan pengalaman pengguna berbanding pendapatan,” tambahnya.
Isu kesejahteraan pengguna menjadi sensitif bagi OpenAI, yang sebelum ini berdepan tuduhan membenarkan ChatGPT mengutamakan penglibatan emosi berbanding keselamatan, sehingga didakwa menyumbang kepada tekanan mental dalam kalangan sesetengah pengguna.
Langkah ini turut dibuat ketika ChatGPT Go, pelan langganan AS$8 sebulan, mula ditawarkan di Amerika Syarikat dan semua pasaran di mana perkhidmatan itu beroperasi. – AFP.
{suggest}
