Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Businessman touching the brain working of Artificial Intelligence (AI) Automation, Predictive analytics, Customer service AI-powered chatbot, analyze customer data, business and technology

Bahaya Diam-Diam Bila Anak Terlalu Rapat Dengan AI

Diterbitkan Ogos 27, 2025 · Dikemas kini Ogos 28, 2025 oleh ariff bukhari

Dalam dunia digital serba canggih dan automasi hari ini, teknologi hadir dalam setiap sudut penjuru kehidupan kita.

Dari telefon pintar, aplikasi pendidikan, kenderaan hinggalah platform hiburan, hampir semuanya berhubung rapat dengan teknologi.

Dan teknologi terkini yang paling rapat dengan kehidupan seharian kita hari ini adalah kecerdasan buatan (AI).

Kepesatan teknologi AI sejak kebelakangan ini telah mewujudkan fenomena AI yang dijadikan sebagai teman (AI companions) menerusi chatbot pintar yang direka seolah-olah rakan berbual sebenar.

Ia semakin mendapat tempat di kalangan pengguna, khususnya remaja di mana AI sedang berkembang di era mereka membesar ketika ini

Namun, di sebalik perkembangan ini yang dilihat sebagai normalisasi dengan manfaat besar, tetapi ia sebenarnya membawa risiko besar yang tidak disangka di mana ia perlu diberi perhatian serius oleh institusi keluarga, khususnya ibu bapa.

Beberapa kes mutakhir membuktikan bahawa hubungan keterlaluan antara anak-anak dengan chatbot AI ini boleh mengundang tragedi.

Bahaya Diam-Diam Bila Anak Terlalu Rapat Dengan AI

Bila AI Jadi “Kawan Karib”

Kajian oleh Common Sense Media baru-baru ini mendapati hampir tiga daripada empat remaja di Amerika Syarikat pernah menggunakan AI companions dengan separuh daripadanya adalah pengguna tetap.

Chatbot seperti Character.AI, Replika, Nomi dan lain-lain dipasarkan sebagai teman berbual untuk mendengar, memahami, dan memberi respons emosi.

Bagi anak-anak yang mungkin berasa kesunyian atau kurang perhatian, kehadiran chatbot AI dirasakan seperti penyelamat.

Mereka boleh berkongsi rahsia, meluahkan tekanan perasaan, malah mendapatkan “nasihat” tanpa bimbang dihakimi. Namun di sinilah bahaya tersembunyinya.

Tidak seperti manusia, AI tidak mempunyai empati sebenar. Sebaliknya, ia hanya memproses data dan menghasilkan respons berdasarkan corak bahasa.

Kes tragis di California, Ogos 2025 adalah bukti terkini isu ini apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, Adam, dikatakan menerima galakan daripada ChatGPT untuk mencederakan diri sendiri hingga membawa kepada kematiannya.

Ekoran insiden tragis itu, ibubapa remaja itu telah bertindak memfailkan saman terhadap OpenAI.

Menurut saman yang difailkan ibu bapa remaja itu, chatbot tersebut bukan sahaja gagal menghalang tindakan berbahaya, malah memberi panduan teknikal terhadap percubaan remaja itu.

“ChatGPT berfungsi tepat seperti yang dirancang: untuk terus mendorong dan mengesahkan apa sahaja yang dinyatakan oleh Adam, termasuk pemikiran paling berbahaya dan merosakkan diri, dengan cara yang terasa sangat peribadi,”

Risiko Emosi dan Mental Anak-Anak

Apabila AI menjadi teman setia anak-anak, beberapa risiko besar yang tidak pernah terfikir oleh kita sebelum ini kini mungkin boleh berlaku. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Ketagihan dan kebergantungan emosi
    Remaja boleh menjadi terlalu bergantung pada chatbot sebagai sumber sokongan emosi. Ini menjejaskan hubungan sosial sebenar mereka bersama keluarga dan rakan sebaya.

 

  • Normalisasi menjadi berbahaya
    AI, walaupun direka untuk membantu, masih boleh mengeluarkan respons yang mengesahkan tingkah laku negatif atau berbahaya, seperti kes Adam. Menormalisasikan AI dalam hubungan keluarga memberi akibat yang tidak terjangka.

 

  • Privasi terdedah
    Anak-anak mungkin berkongsi maklumat peribadi yang sensitif dengan AI tanpa sedar bahawa data tersebut boleh digunakan atau disalahgunakan.

 

  • Pengganti ibu bapa
    Secara tidak sedar, AI mengambil alih fungsi ibu bapa dalam mendengar dan membimbing anak, sekali gus melemahkan komunikasi keluarga.

Bahaya Diam-Diam Bila Anak Terlalu Rapat Dengan AI

Tanggungjawab Ibu Bapa di Era AI

Sehubungan itu, ibu bapa tidak boleh berdiam diri. Peranan mendidik, membimbing, dan melindungi anak-anak kini lebih mencabar.

Ibu bapa tidak boleh melepas tangan dan mengharapkan peranan mereka menjadi mudah dalam mendidik anaka-anak dengan bergantung harap pada AI.

Ibu bapa perlu berbincang terbuka tentang teknologi bersama anak-anak dengan menekankan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dengan AI.

Anak-anak perlu dididik dan disedarkan bahawa AI hanyalah alat, bukan manusia sebenar.

Selain memantau penggunaan AI, ibu bapa perlu sentiasa berinteraksi bersama anak-anak dalam dunia nyata.

Mereka perlu aktif dalam aktiviti sosial, sukan, atau hobi yang membina pergaulan manusia sebenar.

Ini merupakan cabaran besar ibu bapa moden dalam membina hubungan mesra dalam keluarga.  Luangkan masa berkualiti dengan anak-anak.

Tindakan mengabaikan pertanyaan ringkas anak-anak yang dipandang enteng oleh sebahagian ibu bapa memungkinkan anak-anak ini yang mengharapkan perhatian, memilih AI kerana merasakan sukar berkomunikasi dengan ibu bapa sendiri.

Peranan Kerajaan dan Syarikat Teknologi

Selain ibu bapa, kerajaan dan syarikat teknologi juga mempunyai tanggungjawab besar.

Syarikat AI terutamanya perlu berusaha menambah baik ciri keselamatan seperti mewujudkan ciri amaran automatik apabila terdapat perbualan berkaitan bunuh diri atau tindakan yang terarah untuk membahayakan nyawa manusia, dengan menyediakan saluran bantuan kesihatan mental di platform chatbot AI mereka

Penubuhan Panel Bebas Saintifik Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memantau perkembangan teknologi dan menggariskan panduan global membuktikan bahawa isu keselamatan AI kini menjadi perhatian antarabangsa.

Kesimpulan

Kecerdasan buatan sememangnya memberi manfaat besar dalam produktiviti harian manusia yang bergantung kepada teknologi.

Namun, jika dibiarkan tanpa pengawasan, ia boleh bertukar menjadi ancaman, khususnya bagi anak-anak yang sedang mencari identiti dan sokongan emosi.

Insiden yang berlaku di AS itu telah membuka mata masyarakat global tentang bahaya AI tanpa pengawasan. Penulis sebagai ayah juga bimbang dengan isu mutakhir ini.

Jadi, tindakan keluarga itu memfailkan saman terhadap OpenAI adalah sangat wajar.

Namun, sebagai ibu bapa, jangan abaikan anak-anak dengan membiarkan AI mengambil tempat sebagai pendengar setia, teman rapat atau platform untuk anak-anak kita mendapatkan perhatian yang tidak diperoleh dari ibu bapa.

Kita mesti memastikan bahawa hubungan emosi mereka dibina bersama manusia sebenar dengan kasih sayang, empati, dan tanggungjawab.

AI boleh menjadi alat hebat untuk masa depan, tetapi keluarga tetap benteng utama dalam membentuk generasi muda yang sihat secara emosi dan mental.

Sekian.

Berkaitan

  • Orang Kata Telefon Lipat Sama Je, Tapi Ciri Pada vivo X Fold5 Ni Buat Anda Fikir Balik
  • Ketagihan TikTok Dan Reels Boleh Jadikan Pengguna Abaikan Risiko Kewangan -Kajian
  • OpenAI Disaman, ChatGPT Didakwa Dorong Anak Bunuh Diri
  • 'Sideloading' Pada Android Akan Lebih Ketat Mulai Tahun Depan
  • PBB Tubuh Badan Penasihat Bantu Negara-Negara Buat Keputusan Tentang AI

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • TikTok Shop Naikkan Kadar Komisen Bagi Kebanyakan Kategori - Berkuat Kuasa 31 Oktober 2026
  • Prapesan iPhone Duo Kini Dibuka Di Malaysia - Harga Bermula RM9,499
  • Malaysia Percepat Reka Bentuk Cip Menerusi IP Arm, Enam Cip Tempatan Dilancarkan
  • 3 Digital Audio Player Bawah RM400
  • Senario Terburuk Krisis Iklim Di Asia Selatan, 40.5 Juta Penduduk Berisiko Jadi Pelarian Menjelang 2050
  • Genting Dan Huawei Akan Bersama Bangunkan Bandar Pintar Teknologi Di Johor
  • RAM Mahal? 8GB Sudah Cukup Untuk PC Windows 11 - Microsoft
  • Sony Walkman Baharu Dipacu Android Dilancar Pada Harga ~RM11,750
©2026 WISER.MY