Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 Yang Ditetapkan Oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Jika masih ada yang ragu-ragu...


Dalam hasil tinjauan penerimaan atau penolakan vaksin COVID-19 yang dijalankan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 67% atau bersamaan dengan 142,044 responden menyatakan setuju terima vaksin COVID-19.

Walaubagaimanapun, 16% daripadanya Tidak Bersetuju untuk menerima vaksin COVID-19. Dari jumlah itu, sebanyak 84.6% responden menyatakan bahawa mereka meragui bahan dalam vaksin tersebut.

Bagi mereka yang masih ragu-ragu tentang hukum pengambilan vaksin itu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang telah bersidang pada 3 Disember 2020 lalu telah menetapkan bahawa hukum penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Melihat kepada perspektif syarak pula, keputusan mengharuskan pencegahan penyakit melalui kaedah penggunaan vaksin dapat dilihat keberkesanannya.

Sebagaimana keputusan yang dibuat sebelum ini iaitu sejak 1988 hingga 2013, hukum harus telah ditetapkan bagi vaksin imunisasi Rubela (1988), Imunisasi Hepatitis B (1988), Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus dan Polio (1989), Vaksin Meningococcal Meningitis (2002 dipinda ke tahun 2014), Vaksin Human Ppiloma Virus (2010) dan Vaksin Meningitis Menveo (2013).

Justeru, menerusi kenyataan media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dibuat oleh Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al. Bakri, beliau menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat islam yakin dan patuh pada arahan penggunaan vaksin tersebut.

Malaysia dijangka akan menerima vaksin COVID-19 seawal bulan Mac ini dari syarikat farmaseutikal Astra Zeneca (United Kingdom) dan Pfizer (Amerika Syarikat).

Malaysia juga berusaha mendapatkan tambahan vaksin COVID-19 dari Sinovac (China), CanSino (China) dan Gamaleya (Rusia)

Sumber: JAKIM