Huawei Nova 6 5G Bakal Menjadi Model Pertama Siri Nova Dengan Rangkaian 5G

Huawei Nova 5Z yang dilancarkan akhir bulan lalu mungkin menjadi model penutup kepada siri Nova 5. Untuk generasi seterusnya, Huawei kini sedang menyiapkan barisan model dalam siri Nova 6. Untuk itu, model pertama yang mula kelihatan di internet adalah Huawei Nova 6 5G.

Melihat kepada penamaan, peranti semestinya akan menggunakan rangkaian 5G, di mana ia adalah yang pertama buat siri Nova. Setakat ini, belum ada spesifikasi yang disertakan dengan imej. Namun, kita masih boleh mengetahui beberapa maklumat mengenai peranti ini.



Melihat kepada skrin hadapan, peranti bakal dilengkapi dengan rekaan kamera punch hole dengan 2 kamera berbentuk pil seperti Galaxy S10+. Beralih kepada bahagian belakang, terdapat susunan 3 kamera menegak bersebelahan sebuah model yang mana ia sama ada kamera TOF ataupun laser autofokus. Tiada modul pengimbas cap jari di bahagian belakang. Namun, berkemungkinan ia diletakkan di bahagian tepi berdasarkan 'butang' yang dilihat pada sisi peranti. Setakat ini, itu sahaja spesifikasi yang boleh diperoleh melalui imej yang kelihatan untuk peranti ini.

Terdapat juga gambaran peranti Nova 6 dengan versi 4G biasa berserta tarikh pelancaran. Seiring dengan Nova 6 5G, Nova 6 4G ini juga bakal menggunakan rekaan kamera pil yang sama. Peranti ini juga bakal hadir dengan 3 pilihan warna hitam, biru, dan ungu. Mengikut sumber, tarikh yang terpapar pada bahagian skrin menunjukkan indikasi bahawa peranti ini bakal dilancarkan pada 12 Disember ini.

Kapsyen: Imej: Android Headlines


Tidak banyak maklumat yang boleh diperoleh dengan hanya sekadar gambar. Tetapi seperti kebiasaan, spesifikasi peranti ini akan mula didedahkan dengan lebih banyak lagi menjelang tarikh pelancaran.

Sumber: Android Headlines, xda-developers