Huawei MateBook X Diperkenalkan, Hanya Seberat 1kg

Huawei di China hari ini telah mengumumkan satu lagi kemaskini baru untuk segmen komputer riba melalui MateBook X. Perubahan ketara untuk penawaran kali ini dapat dilihat pada bahagian rekaan yang mana ia kini hanya seberat 1kg berbanding versi Pro sebelum ini dengan berat 1.33kg.



Tampil dengan ketebalan 13.6mm, saiz paparannya juga lebih kecil iaitu 13 inci tetapi masih mengekalkan resolusi sama seperti MateBook Pro iaitu 3000 x 2000 piksel. Panel paparan ini juga menyokong ciri sentuhan.

Rekaan nipis ini juga mengehadkan lagi penawaran port sambungan dibahagian luar dimana ia hanya menyediakan dua USB-C dan satu untuk bicu audio 3.5mm.

Satu lagi perubahan yang ditampilkan pada model kali ini adalah penggunaan pad sesentuh yang baharu. Ia dikatakan mampu mengesan pelbagai tahap tekanan dan tindak balas haptiknya diibaratkan seperti menekan butang sebenar.

Kapsyen: Ciri Huawei Share kini berada bahagian pad sesentuh


Fungsi kamera disembunyikan pada bahagian butang kekunci dan menjadikan bezel lebih nipis untuk menghidangkan paparan lebih luas kepada pengguna. Spesifikasi utama yang hadir pada Huawei MateBook X adalah seperti berikut:

  • Intel i5 -10210U atau Intel i7-10510U

  • RAM 8GB atau 16GB

  • Storan PCIe NVMe SSD 512GB

  • Bateri 42Wh

  • Warna: Emerald Green, Space Gray, Mystic Silver dan Rose Gold

  • Harga pasaran di China bermula dari 7999 yuan (~RM4831) sehingga 9999 yuan (~RM6039).


Buat masa sekarang, tidak dapat dipastikan lagi bilakah Huawei MateBook X akan hadir dipasarkan untuk pengguna luar China.

Sumber: Huawei via GSMArena