Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Huawei Lancar FusionSolar 9.0 Di Malaysia, Perkenal Penyelesaian Solar Pintar Berasaskan AI

Huawei Lancar FusionSolar 9.0 Di Malaysia, Perkenal Penyelesaian Solar Pintar Berasaskan AI

Diterbitkan April 30, 2026 oleh Amsyar Latif

Huawei Digital Power secara rasmi melancarkan penyelesaian FusionSolar 9.0 Smart PV & ESS di Malaysia, menandakan peralihan besar daripada sistem solar konvensional kepada infrastruktur tenaga pintar yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).

Diperkenalkan di bawah tema “Intelligence Behind Every Ray”, penyelesaian ini direka untuk menyokong transisi tenaga negara ke arah sistem yang lebih berdaya tahan dan mampan. Inisiatif ini turut memperkenalkan beberapa teknologi pertama dalam industri, termasuk penyongsang rentetan pembentuk grid pertama di dunia serta sistem PV arus ulang-alik (Vac) 1,000-volt.

Penyelesaian FusionSolar 9.0 menampilkan teknologi penyongsang rentetan pintar 506KTL terkini serta stesen pencawang pintar (STS) generasi baharu dengan kapasiti sehingga 11,000kVA.

Melalui integrasi AI, sistem ini membolehkan operasi autonomi yang meminimumkan keperluan kakitangan di tapak, terutamanya bagi pemasangan di kawasan pergunungan, terapung, mahupun pulau terpencil.

Dari segi prestasi, sistem ini mampu meningkatkan output tenaga sekitar satu peratus dan menambah baik pengesan kerosakan sistem melebihi 50 peratus, sekali gus membolehkan penyelenggaraan dipacu data yang lebih efisien.

Melengkapkan ekosistem ini adalah penyelesaian storan tenaga (ESS) siri LUNA2000-241 yang menyokong penyimpanan dan penghantaran tenaga secara optimum.

Dengan penjadualan berasaskan AI, sistem ini mampu memberikan hasil tenaga sehingga 20 peratus lebih tinggi dengan kecekapan kitaran pergi-balik sebanyak 91.3 peratus.

Keupayaan untuk beralih antara mod on-grid dan off-grid secara lancar turut membantu mengurangkan risiko gangguan operasi, manakala ciri keselamatan yang menepati piawaian antarabangsa memastikan prestasi yang boleh dipercayai dalam pelbagai persekitaran industri.

Langkah ini dilihat selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mensasarkan 70 peratus penggunaan tenaga bersih menjelang 2050.

Huawei Malaysia menegaskan bahawa pengurusan tenaga solar secara pintar dan efisien adalah kunci utama untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil serta menstabilkan kos tenaga jangka panjang.

Selain meningkatkan kebolehpercayaan operasi loji, kemajuan teknologi ini dianggarkan mampu menjimatkan kos operasi sehingga AS$300,000 sepanjang kitaran hayat 25 tahun, sekali gus memberikan pulangan yang lebih kompetitif buat pelabur tenaga di Malaysia.

Berkaitan

  • ‘Hype’ Atau Tidak, Ini Yang OPPO Reno15 Sebenarnya Boleh Buat
  • Sokongan Aplikasi Time Di Huawei AppGallery Dihentikan Bermula 25 April
  • Huawei Lancar AI Lab Pertama Di Luar China Di TRX Kuala Lumpur

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • 18 Tahun Xperia: Model Pertamanya Guna Windows Mobile, Bukan Android
  • Sony Perkenal Paparan 3D Bersaiz 6" Tanpa Perlu Cermin Mata Khas
  • Pengguna MAE Kini Boleh Bayar QR Di 8 Destinasi luar Negara
  • Pelajar MRSM Perak Menang RM47,000 Hasil Inovasi Bantu OKU Cacat Penglihatan
  • Pra Tempah 2 Pembesar Suara Mudah Alih CMF Baharu Ini Kini Dibuka Bermula RM259
  • PayNet Perluas Pembayaran DuitNow QR Ke 5 Destinasi Luar Negara - Ini Bank Yang Menyokongnya
  • Foxconn Habiskan 1 Trilion Token Bagi Melatih AI FoxBrain Dalam 12 Hari
  • Cara Batalkan Sijil MyDigital ID
©2026 WISER.MY