Huawei Juga Punyai Komputer Desktop Tersendiri Dijana Cip 7nm ARM Kunpeng Dan Sistem Operasi Modifikasi Linux

Huawei kini mengorak langkah bakal memasuki kategori komputer desktop. Baru-baru ini, seorang YouTuber telah membeli desktop ini dan telah menguji prestasinya.

https://www.youtube.com/watch?v=Q99ccKqG3bA&feature=youtu.be

Komputer desktop ini masih belum lagi mendapat namanya. Namun maklumat mengenai spesifikasinya sudah mula tersebar. Yang pertamanya, ia merupakan sebuah desktop untuk platform ARM dan juga sistem perisian berasaskan Linux.



Cip yang digunakan adalah 7nm Kunpeng 920 ARM v8 yang mempunyai 8 teras pemprosesan manakala papan induk yang digunakan adalah dari Huawei D90S10. Untuk grafik kad pula, ia adalah dari Yeston RX550.



Mengenai sistem operasi pula, ia menggunakan sistem 64-bit UOS yang merupakan modifikasi dari Linux. Ia juga turut hadir dengan gedung aplikasi sendiri. Sistem ini menggunakan 16GB DDR4 2666MHz RAM serta menyokong PCIe 4.0.



Untuk ujian komputer tersebut, ia mampu mencatatkan masa 11 minit 47 saat dalam ujian BMW Blender. Untuk sebuah cip 8 teras, masa yang diambil adalah agak lama jika dibandingkan dengan cip komputer desktop yang lain.

Komputer ini telah dibeli berharga 7,500 Yuan (~RM4,572) oleh pemilik akaun YouTube tersebut. Buat masa ini, ia masih belum dilancarkan secara rasmi walaupun di China. Jika ada pun, tidak dapat dipastikan ia akan mendapat sambutan di luar negara China.

Sumber: YouTube