Huawei Dilapor Akan Mula Mengeluarkan Cip Kirin 985 Pada Suku Ketiga Tahun Ini

Desas-desus mengenai penghasilan cip kelas atasan, Kirin 985 sudahpun dibualkan lewat 2018 lagi, dimana penghasilannya pula dikatakan bakal berlangsung pada suku kedua 2019.

Menambah lagi perkembangan membabitkan cip tersebut, khabar angin mula berlegar pada laman Weibo yang menyatakan pengeluarannya akan dibuat seawal suku ketiga tahun ini.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, ip pemprosesan Kirin 985 akan dihasilkan menerusi teknologi pembuatan terbaru dipanggil Extreme Ultraviolet Lithography (EUV). Ia merupakan teknologi termaju yang disebut mampu meningkatkan pengeluaran cip, menjadikan pembuatan lebih murah dan pantas untuk dihasilkan. Cip pemprosesan Apple, A13, juga dilapor akan menggunakan teknologi EUV yang dipertingkatkan.

Diwarkan-warkan memberi peningkatan 10%-20% berbanding Kirin 980, cip Kirin 985 juga berkemungkinan menyokong modem 5G.

Difahamkan juga, Kirin 985 akan membuat kemunculan bersama-sama Huawei Mate 30 yang mana ketika ini dikhabarkan sedang diuji. Selain versi standard, Mate 30 turut dipercayai akan ditawarkan dalam dua lagi versi iaitu Pro dan Lite.

Sumber: Android Headlines