Gergasi teknologi China, Huawei, merancang melancarkan sistem komputasi berkuasa tinggi yang membolehkan cip berhubung pada kelajuan pantas, menurut kenyataan seorang eksekutif pada Khamis, ketika Beijing berusaha memperkukuh keupayaan AI domestik dan mengurangkan pergantungan kepada firma Barat.
Ketegangan geopolitik antara China dan Amerika Syarikat semakin memperhebat persaingan teknologi, dengan kedua-dua negara berlumba-lumba untuk menguasai bidang penting kecerdasan buatan (AI) dan cip komputer berteknologi tinggi.
Huawei yang berpusat di Shenzhen, bersama Nvidia dari California, sering menjadi mangsa dalam persaingan ini, masing-masing berdepan pelbagai sekatan dalam operasi antarabangsa mereka.
Timbalan Pengerusi Huawei, Eric Xu, berkata syarikat itu akan melancarkan Atlas 950 dan Atlas 960 “SuperPoDs“, sebagai usaha memenuhi “permintaan komputasi jangka panjang”.
Produk ini menggabungkan ribuan cip Huawei sekali gus meningkatkan kuasa pengkomputeran yang menjadi asas pelbagai aplikasi AI.
Atlas 950 dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun ini, manakala Atlas 960 pula pada tahun 2027, menurut laporan media perniagaan China, Jiemian.
“Dua SuperPoD ini akan menawarkan prestasi terunggul industri merentasi pelbagai metrik utama, termasuk jumlah NPU (unit pemprosesan neural), jumlah kuasa komputasi, kapasiti memori, dan jalur lebar interkoneksi,” kata Xu.
Pengumuman itu hadir sehari selepas laporan Financial Times mendakwa pengawal selia internet China mengarahkan gergasi teknologi domestik termasuk Alibaba dan ByteDance menghentikan pesanan cip tertentu keluaran Nvidia.
Menurut laporan tersebut, Pentadbiran Ruang Siber China mengarahkan syarikat-syarikat berkenaan menghentikan semua ujian dan pelan pembelian cip RTX Pro 6000D Nvidia, pemproses canggih yang direka khas untuk pasaran China.
Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, menyuarakan rasa kecewa terhadap laporan itu pada Rabu.
Pemerhati percaya langkah Beijing mengurangkan pergantungan syarikat teknologi tempatan kepada Nvidia adalah sebahagian daripada usaha mempercepatkan pengeluaran cip domestik oleh syarikat seperti Huawei dan Cambricon.
Menurut FT, pihak berkuasa China baru-baru ini turut memanggil Huawei dan Cambricon untuk membincangkan sejauh mana produk mereka mampu menyaingi cip Nvidia di pasaran China. – AFP