Honor Play - Sebuah Lagi Telefon Pintar Gaming Dilancarkan Di China

Sebelum ini, peminat permainan video mudah alih telah disajikan dengan peranti Razer Phone dan Nubia Red Magic. Malah awal minggu ini, ASUS baru sahaja melancarkan sebuah peranti telefon pintar mengfokuskan permainan video dibawah jenama ROG Phone.

Tidak mahu ketinggalan, Honor juga telah memperkenalkan sebuah peranti atas tujuan sama iaitu Honor Play. Peranti ini telah diperkenalkan kepada umum dalam satu majlis yang berlangsung di China semalam(6 Jun).

Honor Play hadir dengan paparan skrin 6.3 inci dengan nisbah paparan pada 19:9 dengan menggunakan paparan skrin FHD+ LCD. Peranti ini turut akan menggunakan reka bentuk takuk bagi memberi ruang kepada kamera hadapan.



Huawei juga telah memasang teknologi GPU Turbo pada Honor Play ini bagi memastikan pemain dapat menikmati permainan video dengan prestasi yang terbaik. Sokongan audio 3D turut digunakan pada peranti ini dan ia dijangka akan dapat membantu pemain serba sedikit semasa bermain permainan video.

Honor Play ini turut akan menyokong fungsi permainan 4D melalui teknologi GPU Turbo. Ia akan membenarkan peranti untuk mengesan adegan dalam permainan seperti tembakan, letupan dan gegaran.

Peranti ini juga akan didatangi dengan cip pemprosesan terbaik Huawei iaitu Kirin 970, variasi memori sehingga 6GB RAM serta ruang storan 64GB yang boleh dipertingkatkan menggunakan kad mikroSD. Ia akan dikuasakan oleh bateri berkapasiti 3,750 mAh.



Bagi kameranya pula, Honor Play menggunakan dwi-kamera 16MP + 2 MP bersama teknologi kecerdasan buatan yang dikuasakan oleh NPU daripada Kirin. Lensa 16MP dengan pengcahayaan potret 3D pula digunapakai sebagai kamera swafoto.

Buat masa sekarang, peranti ini hanya dilancarkan di pasaran China pada harga $ 310(~RM 1233) dengan tiga pilihan warna iaitu Magic Night Black, Aurora Blue dan Nebula Violet. Belum ada sebarang maklumat daripada pihak Honor Malaysia berkenaan kemasukan peranti ini ke pasaran tempatan buat masa ini.

Sumber