HONOR MagicWatch 2 Dibawa Masuk Malaysia Pada Harga RM699

HONOR MagicWatch 2 secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia. Jam tangan pintar ini adalah pengganti kepada HONOR MagicWatch sebelum ini. Dengan model baharu ini, ia menawarkan bateri hayat sehingga 14 hari.



Ia dikuasakan oleh cip Kirin A1 yang juga menyokong Bluetooth 5.1, dwi-frekuensi GPS, dan mempunyai kalis air sehingga 5 ATM. Terdapat 4GB storan dalaman yang boleh digunakan untuk menyimpan lagu. Jam ini juga turut berfungsi sebagai alat kesihatan dengan 15 mod kecergasan. Ia merangkumi dari aktiviti larian, mendaki, berbasikal, triatlon sehinggalah kepada berenang dan lain-lain.

HONOR MagicWatch 2 juga boleh menjejak dan menganalisis jenis-jenis kecelaruan tidur. Ia juga boleh memberi cadangan untuk memperbaiki kualti tidur. Terdapat juga sokongan fungsi pemantauan kadar degup jantung dan juga tekanan.

Jam pintar ini tersedia dalam saiz versi iaitu 46mm dan 42mm. Skrin model 46mm berukuran 1.39 inci AMOLED berwarna manakala untuk model 42mm ia kecil sedikit pada 1.2 inci AMOLED. Bateri pada model 46mm dikatakan bertahan selama 14 hari tetapi untuk model 42mm ia akan bertahan sekadar 7 hari sahaja. Selain itu, model 46mm mempunyai pembesar suara dan mikrofon untuk membuat dan menerima panggilan terus dari jam.



Harga jualan jam bermula pada RM699 untuk model 46mm (Charcoal Black) dan akan mula dijual 20 Disember ini. Jika anda mahukan pilihan warna lain untuk model 46mm, terdapat warna Flax Brown yang berharga RM749, namun ia belum boleh dibeli lagi. Untuk model 42mm pula terdapat dalam 2 pilihan warna iaitu Agate Black dan Sakura Gold. Akan tetapi kedua-duanya belum boleh dibeli juga dan akan dijual pada masa akan datang.



Untuk pembelian, anda boleh dapatkan jam ini di laman rasmi HONOR, kedai fizikal HONOR Experience Store, dan juga di Shopee pada 20 Disember ini.