(Ulasan)HONOR Watch Magic - Jam Pintar Bajet Yang Berbaloi Untuk Dimiliki

Asyik mengulas mengenai telefon pintar, ulasan saya pada kali ini akan hadir dengan sedikit kelainan. Pada kali ini, kita akan membincangkan mengenai seutas jam pintar keluaran HONOR, iaitu HONOR Watch Magic.

Ia merupakan jam pintar keluaran pertama daripada HONOR yang dilancarkan bersama dengan peranti HONOR View20 tempoh hari.

Ketika diperkenalkan, ramai yang mahu membandingkannya dengan jam pintar keluaran Huawei, Watch GT yang berharga jauh lebih tinggi.

Walaupun tidaklah mencapai tahap Watch GT, Watch Magic ini juga tidak kurang hebatnya.

Reka Bentuk Menawan

Secara jujurnya, saya bukanlah pengguna jam pintar kerana lebih sukakan jam tangan analog yang biasa.



Namun, dengan reka bentuknya yang cantik dan ringkas, HONOR Watch Magic ini telah berjaya menarik perhatian saya.

Bukan sahaja rekaannya yang nampak seakan jam biasa, talinya juga adalah kemas.

Akan tetapi, tali silikon yang digunakan memberikan rasa sedikit kurang selesa pada pergelangan tangan ketika dipakai.



Tambahan pula, ia tetap meninggalkan kesan pada pergelangan tangan walaupun tidak dipakai dengan terlalu ketat.

Rekaan tachymeter pada bahagian bingkai jam pula membuatkan jam tangan pintar ini kelihatan lebih sporty.

Di sebelah sisi kanan HONOR Watch Magic terdapat dua butang, yang mana butang atas adalah butang kuasa manakala butang sebelah bawah digunakan untuk membuka aplikasi atau mengunci skrin.

Pelbagai Pilihan Gaya Paparan Yang Diserikan Dengan Skrin AMOLED 

Untuk bahagian skrin paparan pula, HONOR membekalkan skrin jenis AMOLED bersaiz 1.2-inci pada peranti ini.



Dengan itu, paparan jam ini dapat dilihat dengan jelas walaupun ketika berada di kawasan terbuka sewaktu cuaca cerah.



Pengguna diberikan pilihan untuk memilih gaya paparan untuk digunakan. Pilihan gaya yang disediakan ialah Traditional Sport, Dark Blue, Minimalist, Dashboard, Exercise Rings, Explorer, Outdoor, Heart Rate, Weather, Petals, Elegant, Flipped dan Festival.



Setiap gaya paparan mempunyai fokusnya yang tersendiri. Bagi saya, gaya Explorer menjadi pilihan saya semasa menggunakan HONOR Watch Magic ini.

Spesifikasi Dalaman Yang "Cukup Makan"

Ya, HONOR Watch Magic bukanlah jam pintar yang memiliki spesikasi yang terbaik. Akan tetapi, ia sememangnya sudah cukup bagus berdasarkan apa yang sedia ditawarkan.

Jam pintar hadir dengan RAM bersaiz 16MB dan simpanan dalaman 128MB.



Pengguna tidak boleh memasang apa-apa aplikasi tambahan pada jam pintar ini memandangkan simpanan dalaman yang ada telah digunapakai oleh sistem.

Dari segi sistem operasi pula, peranti ini tidak menggunakan Wear OS, sebaliknya dijalankan dengan sistem Lite OS.



Pada pendapat saya, pengguna tidak akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan sistem operasi ini kerana ia mudah digunakan.

Ia dikuasakan dengan bateri yang lebih kecil(178mAh) berbanding Huawei Watch GT(420mAh). Bagaimana, ia masih mampu untuk bertahan selama satu minggu bagi penggunaan biasa.



Antara spesifikasi menarik lain yang ada pada jam tangan pintar HONOR Watch Magic ini ialah sokongan GPS, NFC serta pengimbas nadi bagi mengukur kadar denyutan jantung.

Kaya Dengan Fungsi Menarik

Funggi yang ada pada jam tangan ini boleh dikatakan setanding dengan jam-jam pintar lain yang berharga lebih mahal.

Antara yang wajib ada pada sebuah jam pintar ialah fungsi kalis air. Watch Magic ini mampu bertahan pada kadar tekanan sehingga 5 Atm atau kedalaman 50 meter untuk tempoh 10 minit.

Ini bermakna anda tidak perlu risau untuk berenang sambil memakai peranti ini. Selain itu, dengan teknologi TruSleep 2.0, jam ini mampu merekodkan 8 data tidur berbeza, mengesan enam masalah tidur berlainan serta memberi lebih 200 cadangan untuk memperbaiki kualiti tidur pengguna.



Terlupa di mana anda letakkan telefon pintar anda? Jangan risau, melalui fungsi Find My Phone, jam ini dapat membantu anda mencarinya. Syaratnya, anda perlu pastikan jam ini dan telefon anda dihubungkan antara satu sama lain.

Seperti kebanyakan jam pintar yang lain, Watch Magic turut didatangkan dengan sensor pengimbas nadi di mana ia boleh memantau kadar denyutan nadi melalui teknologi TruSeen 3.0 dari Huawei.

Malah, ia turut membolehkan pengguna memerhatikan kadar tekanan darah untuk tempoh 24 jam menerusi teknologi TruRelax.

Selain daripada itu, jam pintar ini juga mampu mengesan aktiviti-aktiviti kecergasan lain seperi berlari, berenang, berbasikal, berjalan, mendaki gunung dan banyak lagi.



Sama seperti peranti wearables keluaran Huawei dan HONOR yang lain, jam tangan ini turut boleh disambungkan dengan aplikasi mudah alih Huawei Health.

Anda suka bersenam? HONOR Watch Magic ini boleh menjadi jurulatih kecergasan peribadi untuk anda.

Harga Yang Jauh Lebih Murah, Namun Prestasi Yang Hampir Sama

Jam tangan pintar HONOR Watch Magic ini didagangkan pada harga RM599 bagi pasaran Malaysia semasa dilancarkan tempoh hari.

Kapsyen: HiHONOR


Dengan fungsi-fungsi yang ditawarkan, jelas jam tangan pintar ini sangat berbaloi untuk dimiliki terutama bagi mereka yang mahu tampil bergaya dan moden.

HONOR Watch Magic ini ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Lava Black dan Moonlight Silver. Namun, HONOR Malaysia hanya membekal variasi Lava Black sahaja untuk pasaran tempatan.



Bagaimanapun, HONOR membenarkan anda untuk memilih pelbagai variasi dan reka bentuk tali yang lain mengikut citarasa anda.

Bagi anda yang berminat untuk memilikinya, anda boleh ke gedung atas talian HONOR Malaysia.