Hewlett Packard Enterprise (HPE) kini sedang membina superkomputer Baharu di Pusat Pengkomputeran Leibniz, Akademi Sains dan Kemanusiaan Bavaria.
Superkomputer baharu itu yang dikenali sebagai Blue Lion, akan menjadi sebahagian daripada infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi nasional Pusat Gauss untuk Pengkomputeran dan akan menyokong pelbagai projek penyelidikan.
Sistem ini menggunakan penyejukan cecair langsung 100% dan menyokong simulasi klasik, kaedah kecerdasan buatan (AI), serta gabungan kedua-duanya.
Blue Lion dijadualkan beroperasi pada awal tahun 2027 dan dijangka mencapai kuasa pengkomputeran 30 kali ganda lebih tinggi berbanding pendahulunya, SuperMUC-NG (berdasarkan perbandingan nilai prestasi HPCG antara SuperMUC-NG dan Blue Lion).
Superkomputer ini akan digunakan untuk penyelidikan dalam bidang astrofizik, fizik zarah dan kuantum, mekanik bendalir, sains semula jadi, sains hayat, sains budaya, dan banyak lagi disiplin penyelidikan.
Komputer berprestasi tinggi ini dibiayai bersama oleh Kementerian Persekutuan Pendidikan dan Penyelidikan Jerman (BMBF) dan Kementerian Sains dan Seni Negeri Bavaria (StMWK) dengan jumlah pelaburan sehingga 250 juta euro (~RM1.17 bilion, jumlah itu termasuk kos operasi sehingga 2032).
Sistem ini berasaskan teknologi generasi baharu HPE Cray dan dilengkapi dengan pemecut NVIDIA serta pemproses generasi terkini.
Blue Lion akan disejukkan secara eksklusif menggunakan air suam, memerlukan kira-kira 94 peratus kurang kuasa untuk beroperasi daripada sistem yang sama menggunakan penyelesaian penyejukan udara tradisional.
LRZ akan menggunakan air sehingga 40 darjah Celsius untuk menyejukkan sistem, kemudian menggunakan semula air itu untuk memanaskan pejabatnya sendiri serta institusi jiran di Garching.
“Kemajuan superkomputer, dengan tumpuan pada kecekapan tenaga dan kemampanan, adalah penting untuk menolak sempadan pengetahuan saintifik dan inovasi. Blue Lion, dikuasakan oleh pemecut dan pemproses generasi akan datang NVIDIA, akan membantu penyelidik menyelesaikan cabaran kompleks merentas disiplin, daripada astrofizik kepada sains hayat.” – John Josephakis, Naib Presiden Global Jualan dan Pembangunan Perniagaan untuk HPC dan Superkomputer di NVIDIA.
{suggest}
Sumber: Gauss Centre for Supercomputing