Harga bateri kenderaan elektrik (EV) didapati menjunam, jatuh lebih cepat daripada yang dijangkakan. Tahun ini akan menandakan kemerosotan paling teruk sejak 2017.
Dengan teknologi baharu dan alternatif yang lebih murah melanda pasaran, kenderaan elektrik mungkin tidak lama lagi akan menjadi lebih mampu milik berbanding kenderaan konvensional (ICE).
Harga kenderaan elektrik kini semakin hampir dengan harga kereta ICE selepas kos pek bateri menurun sebanyak 20% pada 2024.
Menurut tinjauan harga bateri tahunan BloombergNEF, kos pek bateri EV jatuh kepada $115 (~RM509) setiap kWj pada 2024, penurunan terbesarnya dalam tempoh tujuh tahun.
Evelina Stoikou, ketua pasukan teknologi bateri BNEF dan pengarang utama laporan itu, berkata,
“Penurunan harga untuk sel bateri tahun ini adalah lebih besar berbanding dengan yang dilihat dalam harga logam bateri, menunjukkan bahawa margin bagi pengeluar bateri sedang dihimpit. Pengeluar yang lebih kecil menghadapi tekanan khusus untuk menurunkan harga sel untuk memperjuangkan bahagian pasaran.”
Penurunan harga ini adalah disebabkan oleh peningkatan pengeluaran sel, harga bahan yang lebih rendah dan bateri LFP yang lebih murah memasuki pasaran.
Menurut laporan itu, harga untuk bateri kenderaan elektrik (BEV) kini adalah pada $97/kWj (~RM429/kWj), melepasi bawah ambang $100/kWj buat pertama kalinya.
“Pada asasnya, purata harga pek bateri adalah terendah di China, pada $94/kWj (~RM416/kWj). Harga pek bateri di AS dan Eropah pula adalah 31% dan 48% lebih tinggi, mencerminkan ketidakmatangan relatif pasaran ini, serta kos pengeluaran yang lebih tinggi dan volum yang lebih rendah.”
Ini menunjukkan,perbezaan harga untuk Amerika Utara dan Eropah berbanding China adalah lebih tinggi berbanding tahun-tahun lain, membayangkan penurunan harga lebih ketara di China.
Syarikat-syarikat di China menghadapi persaingan sengit tahun ini yang mengakibatkan kejatuhan harga bateri dan margin bateri yang lebih rendah, memaksa banyak pengeluar bateri untuk memasuki pasaran baharu, termasuk storan tenaga, sambil turut mengintai pasaran luar negara yang sanggup membayar lebih untuk bateri.
BNEF diakhir laporannya menjangkakan harga pek bateri akan menurun sebanyak $3/kWj (~RM13/kWj) pada 2025 akan datang, berdasarkan tinjauan jangka terdekatnya.
Pelaburan berterusan dalam R&D, penambahbaikan proses pembuatan dan pengembangan kapasiti merentas rantaian bekalan juga akan menjadi faktor yang membantu meningkatkan teknologi bateri dan seterusnya mengurangkan harga sepanjang dekad akan datang.
Di samping itu, teknologi generasi akan datang, seperti anod logam silikon dan litium, elektrolit keadaan pepejal, bahan katod baharu dan proses pembuatan sel baharu akan memainkan peranan penting dalam membolehkan pengurangan harga bateri dalam dekad yang akan datang.
{suggest}
Sumber: BloombergNEF