Google hari ini mengumumkan pencapaian baharu dalam bidang pengkomputeran kuantum apabila berjaya menjalankan algoritma yang disahkan lebih pantas daripada superkomputer terpantas dunia. Ia menandakan kali pertama dalam sejarah kelebihan kuantum boleh disahkan atau verifiable quantum advantage berjaya dicapai.
Pencapaian ini menggunakan cip kuantum Willow dan algoritma baharu dikenali sebagai Quantum Echoes yang diterbitkan dalam jurnal Nature.
Menurut Google, sistem ini mampu menjalankan pengiraan sehingga 13,000 kali lebih pantas berbanding algoritma klasik terbaik pada superkomputer konvensional.
Algoritma Quantum Echoes membolehkan penyelidik “mendengar gema kuantum” bagi memahami bagaimana gangguan kecil tersebar antara qubit. Ia menjadi asas kepada simulasi fenomena semula jadi seperti struktur molekul, magnet dan juga lubang hitam.
Dalam eksperimen bersama Universiti California, Berkeley, pasukan Google turut menunjukkan bagaimana teknik ini boleh digunakan untuk menentukan struktur molekul menggunakan data Nuclear Magnetic Resonance (NMR).
Hasilnya sepadan dengan kaedah tradisional namun memberikan maklumat tambahan yang sebelum ini tidak dapat diperoleh.
Google menyifatkan kejayaan ini sebagai langkah besar ke arah aplikasi dunia sebenar dalam bidang sains bahan dan penemuan ubat.
Dengan kadar ralat yang semakin rendah dan kelajuan yang semakin tinggi, syarikat itu kini memberi tumpuan kepada pencapaian seterusnya dalam pelan hala tuju mereka iaitu membangunkan logical qubit jangka panjang sebagai asas komputer kuantum berskala besar.
{suggest}