Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Google Ads

Google Perketat Iklan Kewangan Di Malaysia, Hanya Syarikat Berlesen Dibenarkan

Diterbitkan Mac 11, 2026 oleh Amsyar Latif

Google mengumumkan langkah keselamatan baharu bagi membanteras penipuan kewangan dalam talian di Malaysia dengan memperkenalkan sistem Financial Services Verification (FSV) untuk pengiklan perkhidmatan kewangan di platformnya.

Melalui inisiatif ini, hanya penyedia perkhidmatan kewangan yang sah dan berlesen akan dibenarkan menyiarkan iklan yang menyasarkan pengguna di Malaysia. Langkah tersebut menambah lapisan perlindungan kepada dasar pengiklanan kewangan sedia ada Google.

Pengiklan boleh mula memohon pengesahan melalui rakan pematuhan Google, G2, bermula 10 Mac 2026, manakala penguatkuasaan penuh dijadualkan bermula 14 April 2026.

Sebagai sebahagian daripada proses pengesahan, pengiklan perlu membuktikan bahawa mereka diberi kuasa oleh pengawal selia kewangan tempatan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Labuan Financial Services Authority (LFSA).

Mereka juga perlu melengkapkan program pengesahan pengiklan Google sebelum dibenarkan mempromosikan produk atau perkhidmatan kewangan.

Pengiklan yang gagal melengkapkan proses pengesahan tersebut sebelum tarikh penguatkuasaan tidak lagi dibenarkan menyiarkan iklan perkhidmatan kewangan kepada pengguna di Malaysia.

Menurut Google, langkah ini diperkenalkan ketika kes penipuan kewangan di Malaysia semakin meningkat. Data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan kerugian akibat penipuan kewangan di negara ini mencecah RM2.77 bilion pada tahun 2025.

Inisiatif ini juga selari dengan usaha kerajaan Malaysia dalam membanteras penipuan digital. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyatakan langkah tersebut merupakan usaha penting dalam memastikan persekitaran digital yang lebih selamat untuk pengguna.

Sistem pengesahan ini telah dilaksanakan di beberapa negara lain termasuk United Kingdom, Singapura dan Australia.

Selain dasar pengiklanan baharu, Google turut memperkukuh sistem keselamatannya melalui dasar Pengesahan Identiti Pengiklan serta teknologi berasaskan kecerdasan buatan seperti Google Lens dan Circle to Search bagi membantu pengguna mengenal pasti potensi penipuan dalam talian.

Berkaitan

  • ‘Hype’ Atau Tidak, Ini Yang OPPO Reno15 Sebenarnya Boleh Buat
  • Google Play Mula Papar Amaran Jika Aplikasi Guna Bateri Secara Berlebihan
  • CEO Google Berpotensi Terima Gaji Berjumlah ~RM2.7 Bilion

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Malaysia Tingkatkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara Daripada Rendah Kepada Sederhana
  • Google Umum Pelaburan AS$15 Bilion Di Malaysia, Sasar 9,000 Pekerjaan Dengan Gaji Lebih Tinggi
  • Paras Gas Karbon Dioksida Dunia Telah Meningkat 3 Kali Ganda Sejak 1960 - WMO
  • HONOR Magic9 Pro Max Dengan Pengimejan ARRI Sah Ke Malaysia, Jadi Telefon Rasmi FFM35
  • UKM Jadi Institusi Pertama Di Asia Tenggara Guna Implan Suara Boleh Laras
  • Aplikasi Shopee Kini Ada Pembantu Beli-Belah 'Migoo AI'
  • Sam Altman: RAM Lebih Baik Digunakan Di Pusat Data Berbanding PC
  • Google Akan Sekat Akses Search Untuk Pelajar Jika Sekolah Tolak AI
©2026 WISER.MY