Google memperkenalkan Gemini 4 Hydrogen, model AI terbaharu dalam siri Gemini 4 yang dibangunkan untuk mengendalikan tugasan harian, pengekodan serta tugasan berasaskan ejen AI (agentic workflows) dengan lebih pantas dan cekap.
Berbanding Gemini 4 Carbon dan Gemini 4 Argon yang direka untuk tugasan kompleks yang memerlukan penaakulan mendalam, Hydrogen lebih memfokuskan pelaksanaan pelbagai tugasan dengan lebih pantas.
Menurut Google, Gemini 4 Hydrogen mampu menyelesaikan tugasan 2.5 kali lebih pantas berbanding Gemini 3.8 Flash pada tetapan default, serta lebih pantas berbanding model pesaing dalam kelasnya. Model ini juga mencatatkan skor lebih tiga kali ganda dalam penanda aras pengekodan Terminal-Bench 4.1, iaitu 57% berbanding 18.2% untuk Gemini 3.8 Flash.
Model ini menawarkan empat tahap pemikiran, iaitu rendah, sederhana, tinggi (default) dan xhigh. Pengguna boleh memilih tahap yang sesuai berdasarkan kerumitan tugasan, selain mengambil kira kelajuan pemprosesan dan penggunaan sumber.

Hydrogen boleh digunakan secara bersendirian untuk tugasan pengekodan harian dan aliran kerja berasaskan ejen AI. Ia juga boleh digunakan bersama Gemini 4 Carbon dan Argon dalam aliran kerja yang melibatkan beberapa model AI, dengan setiap model memainkan peranan berbeza mengikut keperluan tugasan.
Bagi mengautomasikan kerjasama antara model ini, Google memperkenalkan ciri Orchestrator dalam Google Antigravity.
Untuk tugasan analisis maklumat, Hydrogen turut menyokong pemprosesan dokumen PDF, spreadsheet, carta, audio dan rakaman video yang kompleks. Model ini boleh menggabungkan maklumat daripada bahan tersebut untuk menghasilkan laporan lengkap berserta sumber rujukan.
Google turut mendakwa Hydrogen mengurangkan penghasilan maklumat yang direka-reka lebih lima kali ganda berbanding Gemini 3.8 Flash.
Gemini 4 Hydrogen is here, bringing cutting-edge intelligence to everyone for fast, everyday help.
It makes it easier to get things done, following your instructions more closely, calling the right tools, and getting you to a reliable output with less back-and-forth. 🧵
— Google Gemini (@GeminiApp) November 12, 2026
Dalam aplikasi Gemini pula, Hydrogen menawarkan peningkatan dari segi keupayaan mengikuti arahan pengguna dengan lebih konsisten sepanjang perbualan, memilih alat yang sesuai dan menghasilkan jawapan yang lebih boleh dipercayai, sekali gus mengurangkan keperluan pengguna mengulangi arahan.
Selain aplikasi Gemini, Google turut menggunakan Hydrogen untuk meningkatkan keupayaan Google Search.
Ketersediaan
Gemini 4 Hydrogen mula dilancarkan secara global menerusi aplikasi Gemini dan Google Search. Pengguna percuma aplikasi Gemini akan menerima akses kepada model ini melalui pemilihan model secara automatik apabila bersesuaian dengan arahan yang diberikan.
Akses secara manual melalui pilihan model pula bergantung pada pelan Google AI yang dilanggan.
Selain itu, model ini turut tersedia untuk pembangun melalui Gemini API dan Google AI Studio, manakala pelanggan Google AI Pro dan Ultra boleh menggunakannya melalui Google Antigravity. Gemini dalam Google Sheets pula ditawarkan kepada pelanggan Google AI Pro dan Ultra.
