Gergasi teknologi, Google kini dilaporkan mahu membangunkan cip pemprosesan mereka yang tersendiri yang bakal dimuatkan pada Pixel dan Chromebook generasi seterusnya.
Dilaporkan oleh Axios, cip tersebut dikenali dengan nama kod Whitechapel dan menggunakan teknologi 5nm Samsung untuk membangunkannya.
Versi awal cip pemproses itu telah diterima oleh Google namun ia dikatakan masih belum bersedia untuk dipasarkan pada peranti. Ia mungkin ditawarkan pada keluaran tahun hadapan.
Cip pemroses 8 teras dengan rekaan ARM itu juga dipercayai menambah baik prestasi serta keupayaan sentiasa aktif bagi ciri Google Assistant. Bukan sahaja untuk telefon pintar, cip tersebut berkemungkinan juga bakal menguasakan Chromebook.
Untuk makluman, Google sebelum ini sedia mempunyai cip tersendiri khusus untuk sekuriti peranti, Titan M. Ia sudah membuat kemunculan pada Pixel 3 lagi.
Buat masa sekarang, kesemua barisan peranti Pixel yang diperkenalkan dilengkapi dengan cip pemproses daripada Qualcomm. Melalui perkhabaran ini, pada masa hadapan kita mungkin melihat akan menerjah masuk pasaran dengan cip tersendiri sepertimana yang sudah dilakukan oleh Apple, Samsung dan Huawei.
Selain Google, OPPO sebelum ini turut dilaporkan mahu membangunkan cip mereka yang tersendiri.
Sumber: Axios