Bayaran Sehingga 1.5 Juta USD Jika Anda Berjaya Godam Cip Titan M Pada Google Pixel

Program membayar penggodam untuk mencari kelemahan perisian dan sistem masing-masing bukan perkara baharu. Syarikat seperti Facebook dan Google menawarkan program sebegini untuk membaiki kelemahan-kelemahan yang terdapat pada sistem serta pada masa yang sama memberikan ganjaran terhadap kreativiti penggodam dalam mencari kelemahan sistem mereka.

Melalui program Android Security Rewards, Google sendiri telah membayar sebanyak 1.5 juta USD tahun ini membuktikan Google mahu penggodam dan penyelidik sedaya upaya menggodam mencari kerentanan yang terdapat pada perisian Android.

Baru-baru ini, program tersebut telah disemak semula dan Google telah memperkenal hadiah pengkhususan sebanyak 1 juta USD jika anda berjaya menjumpai apa-apa kerentanan yang terdapat dalam cip Titan M pada peranti Pixel. Untuk makluman, cip Titan M merupakan cip perkakas sekuriti khusus yang membuat kemunculan pada peranti Pixel 3 dan Pixel 3XL tahun lepas. Cip itu juga turut hadir untuk Pixel 4 dan Pixel 4 XL. Dengan kewujudan cip Titan M tersebut, secara teorinya ia mampu menguatkan lagi sekuriti peranti Pixel.

Jika ada penggodam yang berjaya menjumpai kerentanan tersebut tanpa akses secara fizikal, Google akan membayar bayaran tambahan 50% menjadikan maksimum ganjaran yang diterima sebanyak 1.5 juta USD. Ganjaran untuk kerentanan-kerentanan lain turut diberikan Google jika ia mengikut kategori yang mereka tetapkan.



Sumber: Google

Berkaitan