Google Doodle Beri Penghormatan Kepada Ibu Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia

Google Doodle memberi penghormatan istimewa kepada ibu Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Aziz sempena dengan hari lahir ibunya bernama Azah Aziz yang ke-94 hari ini.

Beliau merupakan perintis wartawan wanita di Malaysia serta ikon budaya Malaysia juga digelar dengan Tokoh Budayawan Melayu atas usaha sepanjang hayatnya dalam pemeliharaan budaya, tekstil dan pakaian tradisional Melayu untuk generasi akan datang.

Azah Aziz atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Ungku, dilahirkan pada 21 Ogos 1928. Minatnya yang mendalam terhadap bahasa, budaya dan seni telah dipupuk oleh ibunya, Azizah Jaafar, yang berasal dari keluarga Johor yang terbilang dan merupakan perintis dalam pengajian sains domestik, dan daripadanya beliau mewarisi koleksi tekstil dan pakaian Melayu terawal.


Ini juga diperkukuh melalui perkahwinannya dengan Ungku Abdul Aziz, di mana beliau berkongsi minat mendalam terhadap bahasa dan budaya Melayu.


Pada tahun 1957, Azah Aziz telah ditawarkan bekerja sebagai setiausaha kepada ketua pengarang Straits Times ketika itu, Leslie Hoffman, tiga bulan selepas ia memperkenalkan akhbar berbahasa Melayu pertamanya, Berita Harian.

{suggest}

Bermula dari itu, beliau memulakan kerjayanya sebagai wartawan apabila ditugaskan untuk menguruskan bahagian wanita, mengambil alih tugas yang asalnya dikendalikan oleh ibunya Azizah, selama dua tahun.

Antara personaliti antarabangsa yang pernah ditemuramahnya semasa bertugas sebagai wartawan ialah bekas perdana menteri India, Indira Gandhi, peninju Muhammad Ali dan keluarganya, dan angkasawan wanita pertama yang ke angkasa lepas, Valentina Nikolayeva-Tereshkova.

Kapsyen: Azah Aziz pernah bekerja sebagai setiausaha di Jabatan Pengajian Melayu, di bawah ketua jabatan Tan Sri Zainal Abidin Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba. Gambar: Azah Aziz sewaktu muda. Kredit foto: Ihsan Tan Sri Dr. Zeti Aziz.


Antara jasa yang ditaburkan beliau dalam bidang kewartawanan negara adalah mengasaskan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama), salah seorang pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), sebuah pertubuhan kebajikan yang berdedikasi untuk menangani kebajikan dan keperluan wanita dan kanak-kanak serta memperjuangkan hak persamaan gaji, cukai berasingan untuk isteri yang bekerja, pindaan keluarga Islam dan kemudiannya mengasaskan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam.

Malah Azah Aziz juga antara wanita pertama di Malaysia yang menerbitkan buku puisi, permainan dan lagu untuk kanak-kanak, di antaranya ialah Adik Comel, Ibu, Keluarga Kita, O! Bangau dan Burung Kenek Kenek, Kenangan Budi, Pantun-pantun Melayu, Taman Seni, Dendang dan Dondang Kanak-kanak dan banyak lagi.

Kapsyen: Gambar: Azah Aziz. Kredit foto: Ihsan Perbadanan Muzium Negeri Pahang

Azah Aziz berkhidmat sebagai wartawan selama 37 tahun dan merupakan ibu kepada Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia. Tan Sri Dr. Zeti Aziz.


https://youtu.be/boBWQDINUgk

Sumber: Siaran Media Google.