Google Chrome Kini Menggunakan Lebih Banyak RAM Dalam Menghadapi Kerentanan Spectre

Pelayar Chrome tidak dinafikan sebagai salah satu pelayar popular digunakan oleh orang ramai. Merupakan sebuah produk Google, integrasinya bersama-sama produk popular Google yang lain seperti Gmail dan YouTube membuatkan pengguna senang memilih Chrome berbanding pelayar-pelayar lain.

Walau bagaimanapun, Chrome juga dikenali sebagai pelayar yang menggunakan sumber RAM yang tinggi dan sesetengah mesin tidak dapat memberikan pengalaman pengguna yang baik.

Pengumuman Google menerusi blog mereka mendedahkan bagi menangani serangan Spectre yang berlarutan, Google mengumumkan Chrome 67 yang mempunyai fungsi keselamatan yang dipanggil site isolation.

Apa itu Site Isolation?

Site isolation adalah salah satu perubahan di dalam senibina Chrome yang menghadkan setiap proses pemprosesan dari setiap laman sesawang. Objektifnya adalah untuk bergantung terhadap sistem operasi dalam menghentikan serangan untuk setiap proses.



Jika serangan Spectre berlaku, data dari laman sesawang yang lain tidak akan diletakkan sekali dalam satu tempat pemprosesan dan data-data tersebut besar kemungkinan tidak dapat dikongsikan untuk penyerang Spectre. Secara keseluruhan, site isolation mengurangkan risiko kebocoran data semasa serangan Spectre dilakukan.

Tetapi ada kos tambahan yang perlu dipikul oleh pelayar iaitu RAM. Memori RAM tambahan dalam lingkungan 10-13% terpaksa ditanggung oleh kerana kerja-kerja pemprosesan yang tertangguh terutamanya jika banyak tabs yang dibuka.

Google bagaimanapun mengakui kelemahan fungsi tersebut dan cuba mengatasi masalah memori RAM ini dengan  mengoptimakan Chrome supaya lebih pantas dan cekap.

Sumber: Google blog