Google Buang Dua Extension Sekatan Iklan Dari Pelayar Chrome, Dikesan Kumpul Data Pengguna

Google kini telah membuang dua extension sekatan iklan atau AdBlocker dari pelayar Chrome selepas kedua-duanya dilaporkan telah ditukar menjadi perisian hasad yang bertujuan mengumpul data pengguna.

Dua extension tersebut adalah Nano Adblocker dan Nano Defender, yang masing-masing mempunyai lebih 50,000 dan 200,000 pemasangan. Kod pengumpulan data berkenaan telah dimasukkan pada bulan ini, selepas pembangun asal menjual dua extension tersebut kepada pembangun Turki.

Isu ini dikesan oleh Raymond Hill, pembangun sekatan iklan uBlock Origin yang mendapati kedua-dua extension telah diubah untuk memasukkan kod tersebut. Menurut Hill,

"The extension is now designed to lookup specific information from your outgoing network requests according to an externally configurable heuristics and send it to https://def.dev-nano.com"

Selepas analisis lanjutan dilakukan, kod berbahaya tersebut telah didedahkan . Ia bertujuan untuk mengumpulkan maklumat pengguna termasuk alamat IP, negara, URL laman web, kod status HTPP, maklumat OS, masa yang dihabiskan bagi setiap laman web, URL lain yang diklik pada laman web serta lain-lain.

Dua extension berkenaan telah dibuang dan dinyahaktifkan dari pelayar Chrome. Sementara itu, Nano Blocker dan Nano Defender versi Firefox didapati tidak terkesan dengan isu ini. Ini kerana, ia bukan sebahagian daripada penjualan dan dikendalikan oleh pembangun yang berbeza.

Sumber: ZDNet