Google Akan Memperbetulkan 'Pepijat' Yang Menyebabkan Pengguna iPhone Boleh Mengakses Storan Tanpa Had Di Google Photos

Isu ini timbul disebabkan oleh pepijat pada servis Google Photos.


Sebelum ini telah dilaporkan pengguna iPhone boleh menikmati penyimpanan gambar tanpa had dengan kualiti asal di Google Photos.

Walaubagaimanapun, ia sebenarnya bukanlah servis percuma khusus untuk pengguna iPhone. Sebaliknya ia adalah disebabkan oleh pepijat.

Dalam satu jawapan ringkas yang dihantar kepada laman Android Police, Google menyatakan bahawa mereka sedia maklum akan pepijat tersebut dan sedang berusaha memperbetulkan isu ini.

"We are aware of this bug and are working to fix it."Google.

Namun begitu, Google tidak memaklumkan bilakah mereka akan dapat memperbetulkan isu ini. Jadi, sehingga kini sebahagian pengguna iPhone mungkin masih dapat mengakses storan percuma Google Photos.

Sebelum ini seorang pengguna Reddit bernama stephenvsawyer mendakwa bahawa  para pengguna iPhone yang menggunakan gambar dengan format HEIC/HEVC boleh menikmati penyimpanan gambar dengan kualiti asal tanpa had di Google Photos.

Ia merupakan satu tamparan kepada pihak Google sendiri kerana mereka tidak pula menyediakan servis percuma itu kepada pengguna telefon pintar terbaru mereka, Pixel 4.

Berkaitan