Google Akan Hapuskan Iklan Yang Mengganggu Di Pelayar Chrome Mulai Tahun Hadapan

Iklan yang keluar secara bertalu-talu ketika sedang melayari internet merupakan satu perkara yang menyakitkan hati.

Tidak cukup dengan itu, iklan tersebut juga mengganggu kita untuk membaca kandungan laman web selain membuka tab baru sesuka hati.

Oleh sebab itu, Google menerusi naib presiden kanan, Sridhar Ramaswamy, menyatakan bahawa pelayar Chrome bakal menghalang iklan-iklan yang menyusahkan pengguna menggunakan 'penapis iklan' seawal tahun hadapan.

Kenyataan ini bertujuan menggesa pemilik laman web menilai semula iklan yang dipaparkan di halaman mereka.

Walaupun begitu, tidak semua iklan yang akan disekat oleh Google, sebaliknya syarikat itu hanya menyekat iklan-iklan yang menyusahkan dan mengganggu pengguna seperti:

  • iklan video yang bermain secara automatik dengan bunyi

  • iklan yang dipapar mememuhi skrin

  • iklan pop-up


(Di atas ini merupakan contoh iklan yang dianggap "teruk" berdasarkan Better Ads Standards)

Ramaswamy turut menambah bahawa iklan yang dikendalikan serta kepunyaan Google akan turut disekat sekiranya tidak mematuhi garis panduan.

"Penapis iklan" dari Google ini akan beroperasi untuk kedua-dua platform iaitu komputer dan telefon pintar.

Google akan menyediakan satu tool kepada pemilik laman web yang mana ia akan memberitahu mereka sama ada iklan yang dipaparkan menyalahi garis panduan ataupun tidak.

Sumber: The Verge