"Gags & Coffee 2.0" CFM: Sketsa Santai Untuk Pengguna Fahami Isu Komunikasi Dan Multimedia Sempena Sambutan WTISD18

ALOR SETAR, 22 SEPT 2018 – Bersempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2018 (WTISD18) peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Sains Wilayah Utara yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) terus komited dalam mendidik pengguna dengan mengadakan sesi perkongsian dalam bentuk lebih santai dengan membawakan sketsa “Gags & Coffee” bagi berkongsi maklumat berkaitan isu telekomunikasi dan multimedia bersama pengguna-pengguna di Kedah.



Sketsa “Gags & Coffee” kali ini merupakan edisi kali kedua yang dijalankan oleh CFM selepas edisi pertama yang diadakan di Sabah pada Mac lepas. Program ini adalah pendekatan CFM untuk menghubungkan pengguna setempat dengan isu-isu telekomunikasi yang sering dihadapi pengguna dengan menampilkan pelawak tempatan seperti Ebby Yus dan AG Hafiz untuk menyampaikan topik-topik berkaitan dengan pengguna dan telekomunikasi.

“CFM mengambil peluang untuk mendekati pengguna di Kedah dengan mengadakan program yang lebih santai agar lebih mudah difahami penonton tetapi sarat dengan maklumat dan tips yang boleh digunakan pengguna dalam kehidupan seharian selain dapat menjadikan mereka masyarakat yang bermaklumat,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff.

Antara topik yang dikongsikan dalam sketsa tersebut ialah seperti masalah Rangkaian, Bil & Caj, dan Pemberian Perkhidmatan yang juga merupakan antara aduan tertinggi dilaporkan oleh pengguna di bahagian utara (Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang) kepada CFM.

Mengikut rekod, CFM telah menerima sebanyak 207 aduan daripada  pengguna di bahagian utara daripada Januari sehingga Ogos 2018, manakala sebanyak 287 aduan telah diterima pada tahun 2017.

Berikut adalah lima (5) kategori aduan paling tinggi yang dilaporkan pengguna di bahagian utara kepada CFM pada tahun 2017 dan 2018.



Selain berkongsi maklumat dan tips melalui sketsa “Gags & Coffee” ini, CFM juga menyarankan pengguna untuk membuat aduan secara rasmi jika mempunyai masalah dengan penyedia perkhidmatan bagi mendapatkan penyelesaian secara efektif apabila melaporkan masalah mereka kepada saluran yang tepat.

Sambutan WTISD18 pada tahun ini mengangkat “Kecerdasan Buatan” (Artificial Intelligence – AI) sebagai tema. CFM menyokong industri untuk memanfaatkan AI dalam pembangunan infrastruktur dan menyarankan pengguna untuk menggunakan AI bagi mendapatkan maklumat tepat yang dikongsi bersama.

Tambah Mohamad Yusrizal, AI merupakan teknologi yang sangat menakjubkan telah dicipta dan telah digunakan secara meluas pada hari ini tanpa kita sedar yang boleh memberi banyak manfaat kepada pengguna.

Dalam industri telekomunikasi, teknologi AI dilihat dapat membantu untuk mewujudkan isyarat pada telefon pintar untuk pengguna mengetahui kuota data yang telah digunakan dan pengguna boleh mengaktifkan mod penjimatan data dengan mengurangkan data muat turun sekaligus dapat menjimatkan bateri telefon.

Melalui kelebihan teknologi AI juga, pengguna boleh mendapatkan bantuan 24 jam dengan lebih pantas daripada penyedia perkhidmatan mereka tanpa perlu menunggu lebih lama. Penyedia perkhidmatan juga boleh mengenal pasti isu pengguna dengan lebih pantas, memberi maklum balas dengan penyelesaian yang lebih sesuai dan menawarkan bantuan kepada pengguna pada masa sebenar seperti chat bot.

Selain daripada itu, manfaat lain yang boleh digunakan pengguna telefon pintar melalui teknologi AI pada hari ini ialah seperti cadangan laluan bagi mengelak daripada kesesakan trafik dan menjimatkan perjalanan masa, membantu pengguna melakukan belian atas talian dengan membuat jangkaan barang yang diperlukan mengikut kesesuaian pengguna, serta dapat menyediakan ciri keselamatan yang lebih baik seperti teknologi pengenalan wajah (facial recognition).

CFM yakin bahawa teknologi seperti AI merupakan kunci komponen kepada aplikasi proaktif yang boleh digunakan untuk membantu pengguna menjalani kualiti kehidupan yang lebih baik dengan menaik taraf pelbagai perkhidmatan seperti komunikasi, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, kewangan dan perkhidmatan yang berkaitan.

 

#HakAndaKeutamaanKami

#JadilahPenggunaYangBijak

#AmbilTahu

#CelikTeknologi