Dalam acara pelancaran siri Huawei Mate40 sebentar tadi, pengeluar dari China itu turut sama melancarkan beberapa barisan produk lain. Antara yang menjadi tumpuan adalah fon kepala pertama iaitu Huawei FreeBuds Studio.
Disebut-sebut bakal memberi saingan kepada fon kepala premium sedia ada, FreeBuds Studio dilengkapi dengan ciri pembatalan hingar aktif (ANC).
Ia merupakan sebuah fon kepala tanpa wayar dengan binaan keluli tahan karat berukuran 7mm nipis. Seperti pesaing-pesaing lain, fon kepala ini hadir dengan ciri kawalan sentuhan dimana pengguna boleh sentuh dua kali untuk main atau hentikan muzik, sapuan kiri/kanan untuk tukar muzik dan sapuan atas/bawah untuk laras kelantangan audio.
Komponen dalamanya terdiri daripada driver 40mm yang menyokong audio 24-bit bagi memberikan pengalaman audio resolusi tinggi. Ia dikuasakan dengan Kirin A1, cip sama yang digunapakai pada fon telinga FreeBuds Pro.
Dari segi sambungan, FreeBuds Audio menyediakan Bluetooth 5.2 dengan dua antena untuk liputan yang lebih meluas. Selain itu, pengeluar turut menyatakan ia peralihan sambungan antara peranti Android, iOS, macOS dan Windows dapat dilakukan dengan lebih lancar tanpa sebarang gangguan.
Pengecasan selama 10 minit dijanjikan dengan penggunaan selama 8 jam sementara bateri penuh boleh menjangkau hingga satu hari penuh. Huawei FreeBuds Studio bakal ditawarkan di pasaran Malaysia bermula 30 Oktober ini pada harga RM 1199.