Kerajaan Finland telah meluluskan lesen operasi bagi tapak pelupusan kekal sisa bahan api nuklear terpakai yang pertama di dunia, kata syarikat pengurusan sisa Posiva pada Khamis, selepas 22 tahun pembinaannya dimulakan.
Ditebuk pada batuan asas stabil berusia 1.9 bilion tahun di Eurajoki, barat daya Finland, tapak pelupusan geologi ini akan menempatkan bahan api nuklear terpakai dalam lubang yang digali pada batuan tersebut, di mana ia akan kekal memancarkan radiasi berbahaya selama ribuan tahun.
“Ini ialah hari yang hebat dan bersejarah buat Posiva mahupun Finland,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Posiva, Ilkka Poikolainen, dalam satu kenyataan.
Tapak yang dinamakan Onkalo, bermaksud “gua” dalam bahasa Finland, dijangka mulakan operasi tidak lama lagi, namun Posiva menyatakan tiada tarikh pasti yang telah ditetapkan setakat ini.
“Tiada jadual terperinci diberikan pada peringkat ini untuk memulakan operasi,” katanya.
“Sebelum pelupusan akhir bermula, Posiva akan memuktamadkan peringkat pentauliahan, menjalankan ujian dan pemeriksaan yang diperlukan di mana Pihak Berkuasa Keselamatan Keradangan dan Nuklear Finland (STUK) perlu mengesahkan dan meluluskannya.”
Dengan kapasiti ruang sehingga 6,500 tan uranium, Onkalo akan menyediakan simpanan kekal bagi bahan api terpakai daripada lima reaktor nuklear di Finland.
Bahan api tersebut akan dikapsulkan dalam tong kuprum yang sangat tahan terhadap hakisan, sebelum diturunkan ke dalam lubang yang digali di lorong batuan asas.
Lorong itu kemudiannya ditimbus dengan tanah liat bentonit dan diselak secara kekal menggunakan palam konkrit bertulang keluli.
Bahan api tersebut akan kekal beradiasi tinggi selama puluhan ribu tahun.
Selepas kira-kira 100,000 tahun, tahap radiasinya dijangka kembali sama seperti bijih uranium asal yang digunakan untuk menghasilkan bahan api berkenaan, menurut Posiva.
Negara-negara di seluruh dunia telah bergelut dengan masalah pengurusan bahan sampingan nuklear yang berbahaya sejak loji pertama dibina pada tahun 1950-an.
Pada masa ini, kebanyakan sisa tersebut disimpan dalam fasiliti simpanan sementara.
Tapak pelupusan akhir turut dibina di negara-negara lain, termasuk jiran Finland iaitu Sweden serta Perancis, namun Finland dijangka menjadi negara pertama yang membuka fasiliti simpanan bawah tanah tersebut.
Kos pembangunan tapak Onkalo ini dianggarkan mencecah AS$1.16 bilion. – AFP
