Filem 'Time Travel' Ikonik Yang Anda Wajib Tonton

Memang best kalau ada mesin masa, anda boleh melihat masa hadapan atau mengubah sejarah untuk mencipta masa hadapan yang lebih cerah. Berikut merupakan beberapa filem tentang pengembaraan masa 'time travel' terbaik yang anda wajib tengok sebelum anda menyesal.

6. Interstellar (2014)



Barisan Pelakon: Matthew McConaughey, Anne Hathaway, Jessica Chastain 

Pengarah: Christopher Nolan

Siapa tidak kenal pengarah ikonik, Christopher Nolan. Seringkali bereksperimentasi dengan genre yang berbeza, sama ada filem hero aksi atau drama thriller, Christopher Nolan sentiasa menghasilkan karya agung yang menjadi bualan ramai.

Interstella sebenarnya bukanlah cerita pengembaraan masa yang tipikal. Tetapi idea tentang 'apa yang akan terjadi jika manusia mengembara lebih laju dari kelajuan cahaya' membuatkan ramai penonton tersidai kerana teruja untuk mengetahui dan merungkai jalan cerita seterusnya.

Mengisahkan tentang seorang bapak,Joseph Cooper (Matthew McConaughey  terpaksa meninggalkan keluarganya apabila keadaan di bumi semakin teruk untuk dihuni.

5. Primer (2004)



Barisan Pelakon: Shane Carruth, David Sullivan, Casey Gooden

Pengarah: Shane Carruth

Primer merupakan contoh sebuah filem indie yang berjaya dengan bermodalkan bajet rendah (7000$)

Walaupun penghasilan filem dan sinematografinya bukan bertaraf hollywood, tetapi ia adalah filem indie yang mengetangahkan jalan cerita yang segar pada waktu itu.

Dua watak utama, Aaron dan Abe merupakan jurutera yang bereksperimentasi dengan mesin masa. Mereka kemudian menyalahgunakan mesin tersebut sehingga menyebabkan garis masa berselirat dan menghasilkan beberapa versi mereka sendiri. Jalan ceritanya sangat memeningkan kepala tetapi pada akhirnya akan dirungkaikan

4. Edge of Tomorrow (2014)



Barisan Pelakon:  Tom Cruise, Emily Blunt, Bill Paxton

Pengarah: Doug Liman

Edge of Tomorow, merupakan filem yang diambil dari sebuah novel All You Need Is Kill, mengisahkan tentang watak utama William Cage tersekat dalam 'time loop'.

Filem ini membawakan konsep yang sama digunakan oleh filem lakonan Bill Murray iaitu Groundhog Day.

Berlatar belakangkan dunia diserang alien yang mahu menakluk bumi, William Cage terpaksa melawan alien berulang-ulang kali, tetapi beliau sentiasa gagal walaupun sudah mengetahui apa yang akan terjadi.

Di akhir filem penonton akan mengetahui kenapa William Cage tersekat di dalam 'time loop' dan bagaimana dia boleh menyelamatkan bumi. Sebuah filem aksi sains fiksyen yang anda wajib tengok.

3. The Girl Who Leapt Through Time (2006)



Barisan Pelakon: Riisa Naka, Takuya Ishida, Mitsutaka Itakura 

Pengarah: Mamoru Hosoda

Sebuah filem anime yang mengisahkan tentang seorang gadis sekolah, Mokoto Konno menjumpai mesin masa yang membolehkan beliau merentasi masa.

Mokoto Konno menggunakan mesin masa untuk patah balik ke masa sebelumnya untuk pergi lewat ke sekolah.

Lama kelamaan beliau sedar perbuatannya memberi kesan kepada orang sekelilingnya. Plot cerita mula berkembang apabila Mokoto Konno terpaksa kehilangan rakan disebabkan perubahan realiti masa.

2. Back To The Future (1985)



Barisan Pelakon: Michael J. Fox, Christopher Lloyd, Lea Thompson

Pengarah: Robert Zemeckis

Pelik rasanya jika kita bercakap tentang filem pengembaraan masa tanpa memasukkan Back To The Future dalam senarai.

Back To The Future adalah filem evergreen yang tidak akan luput ditelan zaman. Mengisahkan tentang watak remaja lelaki Marty Mcfly secara tidak sengaja merentasi masa ke tahun 1956 menggunakan mesin masa kereta Delorean yang dihasilkan oleh rakan saintisnya, Doc Brown.

Marty berpatah balik ke tahun dimana ayahnya jatuh cinta dengan ibunya tetapi kehadiran Marty Mcfly dari masa telah mengubah peristiwa yang sepatutnya terjadi.

Beliau kemudian terpaksa membetulkan semula sejarah pertemuan ibu bapanya, jika tidak Marty Mcfly sendiri tidak akan wujud sekiranya ibu bapa beliau tidak bercinta dan melahirkan beliau.

Back To The Future merupakan filem bersiri dengan sekuel seterusnya Back To The Future 2 dan Back To The Future 3.

1. Mesin Masa Depan (2019)



Barisan Pelakon: Muaz Malek, Mohd Afiq, Haikal Ariff

Pengarah: Haikal Ariff

Mesin Masa Depan merupakan filem pengembaraan masa terbaik di dunia. Mengisahkan tentang watak utama Muaz Malek menjumpai mesin masa yang diberikan oleh seorang lelaki aneh.

Muaz kemudiannya mengembara ke masa hadapan dan mendapati syarikat dimana beliau berkerja sudah tutup dan banyak perkara terjadi di masa hadapan.

Mesin Masa Depan mendapat tempat dihati penonton dek kerana jalan cerita jangkaan masa depan (tahun 2020) yang tepat. Pada tahun 2020 wabak Covid menyerang satu dunia dan mengakibatkan banyak kedai tutup diilustrasikan dalam filem pendek ini.

Boleh tonton filem pendek bajet rendah ini disini: https://www.youtube.com/watch?v=PKfuYLsaixY&feature=youtu.be

Apa pula pendapat anda tentang senarai ini? Tinggalkan pandangan di ruangan komen.

Baca seterusnya: https://wiser.my/dark-siri-tv-netflix-yang-buat-penonton-berfikir-dan-perah-otak/