Filem "Geran" Memenangi Anugerah Di Festival Filem Asia New York 2020

https://youtu.be/_58gQmt6mjo

Filem aksi persilatan, "Geran", baru sahaja memenangi Anugerah Daniel A.Craft di Festival Filem Asia New York (NYAFF) ke-19. Menerima anugerah di atas kecemerlangannya dalam filem aksi, filem Geran adalah terbitan Layar Pictures dan Tree of Hopes Productions.

Kemenangan itu menjadikan pengarah Geran, Areel Abu Bakar, sebaris dengan nama-nama besar dalam perfileman antarabangsa. Nama-nama ini termasuk Dante Lam (Operation Red Sea), Yue Song (The Bodyguard), dan Jung Byung-gil (The Villainess) yang juga pernah memenangi anugerah itu sebelum ini.

geran

Filem yang bertemakan kekeluargaan dan persaudaraan ini mengangkat seni persilatan "Gayong Pusaka" dalam filem tersebut. Antara lain, Geran menampilkan Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng, dan Megat Shahrizal.

Pengarah Areel mengatakan beliau tidak pernah menyangka untuk menerima penghargaan sebesar itu daripada pihak luar. Lebih-lebih lagi, ini merupakan anugerah pertama filem Geran, yang juga filem pertama arahan beliau.

Geran yang telah ditayangkan di Malaysia dan Brunei pada 10 Oktober 2019, dilaporkan telah dihasilkan menggunakan bajet sendiri. Filem ini mengisahkan tentang sebuah keluarga pesilat yang mempertahankan tanah dan maruah mereka daripada tergadai selepas adik mereka menghilangkan diri dan menggadai geran tanah itu kepada lintah darat.

Kapsyen: Pengarah filem GERAN, Areel Abu Bakar


Menurut Easternkicks, media rasmi untuk Festival Filem Asia New York ke-19, Areel mengatakan pelakon seni mempertahankan diri, Donnie Yen telah menjadi inspirasi kepada beliau dalam pembikinan filem ini. Bagi pihak kru produksi Geran pula, mereka menjadikan Muhammad Ali sebagai idola.

NYAFF ke-19 akan bersiaran dalam talian melalui aplikasi 'Smart Cinema' dari 28 Ogos hingga 12 September 2020. Acara ini merupakan festival filem berprestij di Amerika Syarikat yang mengangkat pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia.

NYAFF juga merupakan platform untuk menayangkan dan menghargai filem melalui pemilihan filem kontemporari dan klasik dari negara-negera Asia.

Sumber: Easternkicks.com & Bernama

Baca lagi: Dwayne Johnson, Sekali Lagi Menjadi Pelakon Dengan Bayaran Tertinggi