Ferrari secara rasmi memperkenalkan Elettrica, kereta elektrik sepenuhnya pertama dalam sejarah jenama tersebut, sempena acara Capital Markets Day 2025. Model ini menandakan fasa baharu dalam strategi pelbagai tenaga Ferrari, yang kini merangkumi enjin pembakaran dalaman, hibrid (HEV dan PHEV) serta sistem pacuan elektrik sepenuhnya.
Dibangunkan sepenuhnya di Maranello, Ferrari Elettrica menampilkan lebih 60 paten teknologi baharu, dengan casis dan badan diperbuat daripada 75% aluminium kitar semula, mengurangkan pelepasan karbon sehingga 6.7 tan CO₂ bagi setiap unit.
Ia dikuasakan oleh empat motor elektrik — dua di setiap gandar yang mana menghasilkan lebih 1,000 kuasa kuda, pecutan 0–100 km/j hanya 2.5 saat, dan kelajuan maksimum 310 km/j.
Bateri berkapasiti 122 kWh dengan voltan 880V memberikan jarak pemanduan melebihi 530 km, serta menyokong pengecasan pantas 350 kW. Bateri ini dibina dan dipasang sendiri oleh Ferrari, dengan ketumpatan tenaga tertinggi dalam industri, iaitu 195 Wh/kg.
Ferrari Elettrica turut menampilkan pusat graviti 80 mm lebih rendah berbanding model ICE, sistem suspensi aktif generasi ketiga, serta mod pemanduan “Range”, “Tour” dan “Performance”.
Bunyi enjin elektriknya juga direka khas melalui getaran mekanikal sebenar untuk memberikan pengalaman audio autentik tanpa tiruan digital.
Pelancaran penuh Ferrari Elettrica akan berlangsung pada musim bunga (Mac-Mei) 2026, dengan pendedahan reka bentuk dalaman lebih awal pada awal tahun depan.
{suggest}