Facebook Kini Benarkan Pengguna Hapus Kiriman Secara Pukal

Facebook kini telah melancarkan satu fungsi baru yang membolehkan anda melihat semua yang dikongsi di platform media sosial, membuat carian dengan filter seperti "tarikh" atau "orang", dan menghapus kiriman Facebook secara pukal. Dengan fungsi ini, ia menjadi lebih mudah dan cepat untuk memadam kandungan yang tidak diingini.



Fungsi yang ditambah pada "Activity Log" ini bertujuan untuk menyaring dan memadam secara pukal atau mengarkibkan mana-mana kiriman yang telah dibuat.

Selain itu, setiap kiriman yang dipadam akan mengambil masa selama 30 hari untuk dihapuskan sepenuhnya oleh Facebook. Jika anda memilih untuk mengarkibkan, kandungan tersebut akan dikekalkan dalam Facebook. Bagaimanapun, orang lain tidak akan dapat melihat kandungan yang telah diarkibkan.

Fungsi tersebut telah mula dilepaskan bermula hari ini pada peranti iOS dan Android serta akan tersedia bagi versi web pada masa akan datang.

Sumber: Facebook